Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana dipilih semula sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Perdana menteri turut mengucapkan tahniah kepada kesemua 222 Anggota Parlimen yang mengangkat sumpah jawatan bagi Penggal Pertama Parlimen ke-13 yang bersidang buat kali pertama hari ini.

"Tahniah buat Pandikar Amin kerana dipilih semula sebagai Yang Dipertua & semua Anggota Parlimen yang mengangkat sumpah hari ini. Ayuh kita tumpukan sepenuh jiwa raga dalam berkhidmat kepada rakyat," katanya menerusi tweeter.

Dalam pemilihan sebagai Yang Dipertua, Pandikar Amin mendapat 133 undi berbanding calon yang dikemukakan pembangkang, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman yang mendapat 89 undi.

Majlis angkat sumpah itu, yang diadakan di Dewan Rakyat, diketuai Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan, disusuli timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin (BN-Pagoh) selain 131 Anggota Parlimen mewakili Barisan Nasional.

Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) mengetuai angkat sumpah Anggota Parlimen mewakili pakatan pembangkang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP.