Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai anggota pentadbiran kerajaan pada Mei 2018 telah menerima bayaran khas berjumlah RM1,017,014.39.

Perkara itu dinyatakan saksi ke-27 perbicaraan kes SRC International melibatkan Najib, Zarina Yusof, 49, yang merupakan Timbalan Ketua Akauntan Pengurusan di Bahagian Akauntan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Putrajaya.

Bagaimanapun, katanya, pembayaran itu dibuat berdasarkan akta sedia ada.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan kemudian bertanyakan tujuan bayaran khas itu dibuat.

Namun, Zarina menyatakan beliau tidak pasti kerana bayaran dibuat oleh Bahagian Kewangan.

Bagaimanapun, katanya, bayaran itu dibuat berdasarkan akta sedia ada iaitu perdana menteri dan bekas perdana menteri layak memperoleh bayaran khas berkenaan.

Apabila disoal siapa yang membuat bayaran berkenaan, Zarina menjelaskan ia dibuat Kerajaan Malaysia dan bayaran dibuat di akaun Affin Bank Najib.

Katanya lagi, Najib dibayar RM18,000 semasa berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri.

Saksi itu juga memberitahu, Najib memperoleh pendapatan RM22,000 sebulan sebagai perdana menteri dan diterima sehingga April 2018.

Bagaimanapun, hanya pada Mei 2018, Zarina menyatakan bahawa Najib menerima secara pro-rated iaitu RM6,627.09 selama sembilan hari dia memegang jawatan.

Najib didakwa pada 4 Julai tahun lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018 pula, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan daripada dana sama.

Pendakwaan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.

Sehingga Khamis, perbicaraan kes SRC International dihadapi Najib sudah memasuki hari ke-12.