Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tiada sebab untuk mana-mana pihak mempertikaikan perjalanan proses Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Ujarnya, PRU kali ini disifatkan berjalan lancar serta tidak timbul sebarang kesulitan termasuk penggunaan dakwat kekal.

''Saya lihat pilihan raya dengan kaedah baru ini berjalan dengan begitu lancar, tidak timbul sebarang kesulitan termasuk penggunaan dakwat kekal.

''Saya berpuas hati dengan prosesnya, tambahan dengan pemerhati dalam dan luar negara. Saya percaya rakyat akan membuat keputusan yang bijak dan menerima keputusan yang sudah dibuat mereka," katanya.

Najib ditemui selepas mengundi di Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.




Beliau tiba di pusat mengundi berkenaan kira-kira jam 9.10 pagi diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan selesai mengundi kira-kira lima minit kemudian.

Selesai membuang undi, Najib melawat pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Ahmad dan Sekolah Menengah Agama Al-Attas sebelum bertolak ke Selangor untuk meninjau proses pengundian di sana.

Pada PRU ke-12, Najib menewaskan calon PKR Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dengan majoriti undi sebanyak 26, 464.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muar, Jalan Meriam, di Muar.

muhyiddin yassin


Muhyiddin yang mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh tiba pada pukul 8.10 dengan diiringi oleh isteri, Puan Seri Noorainee Abd Rahman yang turut mengundi di sekolah itu.

Muhyiddin yang menyandang kerusi berkenaan sekali lagi ditentang pencabar yang sama pada pilihan raya umum 2008 iaitu calon PAS Mohamad Rozali Jamil yang beliau kalahkan sebelum ini dengan majoriti 12,581 undi.


Sementara itu, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengundi di SK Penanti di Permatang Pauh.

Anwar yang mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh ditentang oleh calon BN, Dr. Mazlan Ismail dan calon Bebas, Abdullah Zawawi Samsudin.


Di Marang, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang mengundi di saluran satu jam 8.05 pagi tadi di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Rusila.

Beliau berharap semua melakukan tanggungjawab mereka dan proses mengundian berjalan baik.

hadi awang


Sementara itu, penasihat DAP Lim Kit Siang melawat pusat mengundi di Gelang Patah pagi tadi.



Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf menasihatkan para pengundi agar keluar mengundi awal pagi ini dan jangan lupa membawa kad pengenalan masing-masing.

SPR menjangkakan keputusan pertama PRU13 boleh diketahui seawal-awalnya 7.30 malam ini.