Najib tidak pernah pilih penyata kewangan untuk laporan audit - Ambrin

Ambrin dalam pernyataannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu berkata, Najib hanya memberitahunya beliau akan menyiasat mengapa ada dua versi penyata kewangan yang berbeza.

Najib tidak pernah memberitahu Ambrin penyata kewangan yang mana dipilih olehnya untuk dimasukkan dalam Laporan Pengauditan Syarikat 1MDB. - Gambar BERNAMA | Astro Awani
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah memberitahu bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang penyata kewangan yang mana dipilihnya untuk dimasukkan dalam Laporan Pengauditan Syarikat 1MDB.

Ambrin dalam pernyataannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu berkata, Najib hanya memberitahu beliau akan menyiasat mengapa ada dua versi penyata kewangan yang berbeza, lapor Bernama.

Saksi pendakwaan keenam itu merujuk kepada keterangan terdahulunya mengenai permintaan Najib untuk tidak memasukkan isu dua penyata kewangan 1MDB yang berbeza dalam Laporan Audit 1MDB, dalam pertemuan di pejabat bekas Perdana Menteri pada 22 Februari 2016.

Ambrin, 70, juga bersetuju dengan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib bahawa bekas perdana menteri itu hanya meyakinkannya (Ambrin) bahawa beliau akan membuat siasatan menyeluruh dalam isu itu.

Muhammad Shafee: Adakah (bekas) perdana menteri menyatakan bahawa ada dua penyata kewangan (1MDB), yang beliau pilih A, jadi jangan letak B atau B jadi jangan letak A.

Ambrin: Tidak, tidak, beliau tidak pernah mengatakannya.

Muhammad Shafee: Beliau (Najib) hanya mengatakan bahawa “saya akan mencari punca masalah itu”.

Ambrin: Ya.

Ambrin berkata demikian dalam perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB membabitkan Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Najib, 67, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Arul Kanda, 44, pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu, bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Mereka didakwa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam penyataan sebelumnya, Ambrin menjelaskan mengenai dua versi penyata kewangan 1MDB yang berbeza iaitu versi yang dihantar kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia menyatakan 1MDB sudah menggunakan dana RM4.03 bilion yang diperoleh daripada pelaburan Seggregated Portfolio Company (SPC) untuk membayar hutang syarikat itu.

Satu lagi versi penyata kewangan, dihantar kepada Kementerian Kewangan, Deutsche Bank dan AmBank yang menyatakan dana RM4.03 bilion yang diperoleh daripada pelaburan SPC masih lagi ada dalam simpanan 1MDB.

Dua versi penyata kewangan 1MDB yang berbeza itu adalah antara empat isu yang dipersetujui untuk dikeluarkan daripada laporan audit syarikat.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa Najib tidak memberi arahan khusus mengenai pindaan laporan audit.

Muhammad Shafee: Perkara yang beliau (Najib) bimbang adalah dua versi penyata kewangan yang berbeza itu.

Ambrin: Ya, saya yang memaklumkan kepadanya mengenai dua penyata kewangan yang berbeza itu.

Muhammad Shafee: Sebagai perdana menteri yang munasabah dan pintar, beliau (Najib) harus bimbang (mengenai isu tersebut).

Ambrin: Ya, seharusnya, ia adalah isu yang sangat penting.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa beliau tidak pernah ditekan oleh Najib untuk melakukan pindaan pada laporan audit, sebaliknya, Ambrin tertekan apabila beliau dan pasukannya dari Jabatan Audit Negara (JAN) terpaksa melayan cadangan pindaan yang dikemukakan pada saat-saat akhir sedangkan laporan itu telah sedia untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang sepatutnya dibentangkan pada 24 Feb 2016, terpaksa dibentangkan pada Mac 2016 selepas beberapa pindaan dibuat.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.