Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melawat Perak untuk melihat sendiri keadaan di kawasan-kawasan yang dilanda banjir.

Semalam, beliau meninjau keadaan banjir di Kelantan dan Pahang.

Najib tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh pada pukul 11.30 pagi dari Kuala Lumpur, dan meneruskan perjalanan melalui jalan darat untuk melawat beberapa pusat pemindahan banjir yang menempatkan mangsa banjir dari daerah Perak Tengah.

Lokasi pertama yang dilawati beliau ialah pusat pemindahan banjir di Pusat Latihan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Galah di sini yang menempatkan 654 mangsa daripada 168 keluarga.

Perdana Menteri kemudian melawat pusat pemindahan banjir di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Salak di sini yang menempatkan 1,023 mangsa daripada 267 keluarga.