Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin negeri Sabah akan mencapai tahap pembangunan dan kemajuan lebih pesat di bawah Malaysia bagi tempoh 50 tahun akan datang.

Najib yang menyifatkan Sabah sentiasa 'dekat di hati beliau' berkata kejayaan seperti itu boleh dicapai sekiranya rakyat negeri itu terus memilih kerajaan negeri yang sama dengan kerajaan di peringkat persekutuan.

"Kalau kita dah berjaya 50 tahun untuk membawa Sabah ke hari ini, kita berazam 50 tahun akan datang (Sabah) lebih hebat...ini janji kita pada sambutan yang bersejarah malam ini yang mendapat sambutan hangat dari rakyat jelata.

"Kita berikrar kepada rakyat Sabah yang merupakan sebahagian Malaysia untuk terus mempertahankan kemerdekaan Sabah agar setiap inci bumi bertuah ini akan mencapai kemajuan itu.

"Kita berikrar bahawa kita akan bersama-sama 50 tahun lagi. Sabah bertukar wajah dan tujuh tahun lagi Malaysia mencapai status negara maju dan berharap Sabah juga mencapai status negeri maju," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Malaysia dan perayaan 50 Tahun Sabah Merdeka Dalam Malaysia di Taman Prince Philip, Tanjung Aru di sini malam Isnin.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan isteri Datin Seri Faridah Tussin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin yang juga Pengerusi Induk Sambutan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata meskipun setiap tahap pembangunan akan memakan masa kerana saiz negeri Sabah yang luas, namun kerajaan Barisan Nasional (BN) akan berusaha untuk memastikan kesejahteraan rakyat di negeri ini terus terbela.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan BN akan bekerja keras untuk mencapai kemajuan dan merealisasikan janji dan hala tuju terbaik kepada rakyat Sabah yang menyokong BN pada pilihan raya umum ke-13 yang lepas.

Terdahulu, perdana menteri merasmikan Ekopembangunan Tanjung Aru dan pelancaran wang syiling emas 50 tahun sempena sambutan Hari Malaysia ke-50 tahun.

Sempena sambutan yang dihadiri kira-kira 50,000 pengunjung itu, turut diadakan persembahan khas 50 tahun Sabah Merdeka Dalam Malaysia yang menampilkan tujuh segmen dan diakhiri dengan pertunjukan bunga api.