KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di beberapa kawasan di negara ini terus bertambah buruk apabila jumlah stesen pemantauan yang merekodkan kualiti udara tidak sihat meningkat kepada 11 setakat jam 3 petang ini.
Berdasarkan data terbaharu Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Johor dan Lembah Klang terus merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi negara.
Stesen Batu Pahat di Johor mencatatkan bacaan tertinggi negara iaitu 159, diikuti Larkin (158) dan Pasir Gudang (157).
Kemerosotan kualiti udara turut dikesan di stesen Cheras, Kuala Lumpur yang merekodkan bacaan 154, manakala Johan Setia, Selangor mencatatkan bacaan 151.
Turut berada dalam kategori tidak sihat ialah Kluang, Johor (149), Putrajaya (148), Nilai, Negeri Sembilan (147), IPD Serian, Sarawak (142) dan Bukit Rambai, Melaka (118).
Sementara itu, stesen Segamat, Johor memasuki kategori tidak sihat selepas merekodkan bacaan IPU 113.
Sebanyak 55 stesen pemantauan di seluruh negara berada dalam kategori sederhana.
Antara kawasan yang hampir memasuki kategori tidak sihat ialah Kuching, Sarawak dengan bacaan 98, diikuti Batu Muda, Kuala Lumpur (97), Bandaraya Melaka (95), Tangkak, Johor (95), Kota Tinggi, Johor (94), Jerantut, Pahang (94), Samarahan, Sarawak (94), Seremban, Negeri Sembilan (93), Alor Gajah, Melaka (93) dan Shah Alam, Selangor (92).
Hanya dua stesen di seluruh negara mencatatkan kualiti udara pada kategori baik iaitu Langkawi, Kedah dengan bacaan IPU 33 dan Balik Pulau, Pulau Pinang dengan bacaan 47.
Mengikut APIMS, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 berbahaya.
Orang ramai, khususnya mereka yang berada di kawasan mencatatkan bacaan tidak sihat, dinasihatkan mengurangkan aktiviti fizikal di luar bangunan.
Golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang menghidap penyakit pernafasan turut digesa mengambil langkah pencegahan kesihatan yang sewajarnya sepanjang tempoh berjerebu.