Nama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang telah digabungkan bakal diringkaskan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata cadangan nama itu akan dikemuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, penyeragaman struktur kedua kementerian itu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berharap proses penyatuan dua kementerian itu dapat melicinkan proses meningkatkan kualiti sistem pendidikan di negara ini.

Menerusi penggabungan itu kementerian bakal memiliki lebih sejuta tenaga kerja.

Muhyiddin berkata demikian selepas menghadiri taklimat dan perjumpaan bersama Pegawai Kanan Sektor Pengajian Tinggi di Putrajaya.

Selain itu, katanya segala pelan dan dasar yang diwujudkan sebelum ini di bawah kedua Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi akan diteruskan termasuk pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara.