Pemansuhan Dewan Negara akan menghapuskan prinsip demokrasi dalam peruntukan Perlembagaan dan kerana itu juga kerajaan tidak perlu meminda Perlembagaan atas desakan orang tertentu untuk kepentingan jangka pendek, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Beliau berkata Dewan Negara bertujuan memantau apa yang dilakukan oleh anggota Dewan Rakyat bagi membantu melahirkan undang-undang yang boleh diperhalusi lagi selain menjaga kepentingan setiap negeri.

"Berbeza dengan anggota Dewan Rakyat yang dipilih, anggota Dewan Negara dilantik dalam kalangan mereka yang berkepentingan sebagai wakil dalam senat dan mengikut amalan prinsip demokrasi," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Firdaus Abdullah pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Firdaus dalam soalan tambahannya bertanya sama ada kerajaan menyifatkan saranan seorang pemimpin pembangkang supaya Dewan Negara dimansuhkan sebagai memperleceh Dewan Negara selain menghina Perlembagaan.

Nancy yang bersetuju dengan Firdaus berkata Perlembagaan perlu dipertahankan.

Kepada soalan asal Senator Ahamat@Ahamad Yusop yang bertanya sama ada kerajaan memandang cadangan Dewan Negara dimansuhkan sebagai satu bentuk provokasi, Nancy berkata kerajaan tidak menganggap ia sebagai provokasi.

Pengerusi DAP Karpal Singh sebelum ini dilaporkan berkata Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi memansuhkan Dewan Negara.

"Tiada perlu Dewan Negara. Ia adalah perbelanjaan yang tidak perlu untuk ditanggung rakyat. Tidak ada gunanya.

"Ia hanya menggalakkan orang yang telah ditolak oleh rakyat atau orang lain untuk dibawa ke Parlimen dari pintu belakang melalui Dewan Negara memandangkan dalam undang-undang Parlimen juga termasuk Dewan Negara," Karpal Singh dipetik sebagai berkata demikian sebelum ini.