KUALA TERENGGANU: Nasi daun lemuni bersama itik panggang yang dijual seorang mualaf di bazar Ramadan Shahbandar di sini mencuri tumpuan pengunjung setiap kali melalui gerai tersebut.

Menurut seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Nurkhaalishah, 37, berkata, beliau menjual juadah tersebut kerana daun lemuni sangat berkhasiat untuk kesihatan terutama kepada wanita selepas bersalin dan individu yang menghadapi masalah saraf.

"Ini merupakan kali pertama saya berniaga di bazar Ramadan dengan menjual nasi daun lemuni bersama itik panggang.

"Alhamdulillah...sambutan amat menggalakkan diterima daripada pelanggan.

"Ramai yang mahu mencuba nasi daun lemuni ini setiap kali melalui gerai saya.

"Mereka tertarik melihat itik yang tergantung di gerai saya.

"Ada singgah untuk membeli kerana tidak pernah mencuba nasi daun lemuni yang dilihat unik serta menarik perhatian mereka," katanya ketika ditemui pemberita di gerai miliknya di bazar Ramadan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nurkhaalisha berkata, beliau turut menyediakan sos pedas istimewa untuk dimakan bersama itik panggang tersebut.

Dalam pada itu, Nurkhaalisha berkata, beliau memanggang 15 ekor itik pada setiap hari selain proses memasak dimulakan mencelur itik yang baru disembelih dengan air panas untuk memudahkan proses membuang bulunya.

"Proses mencelur pula dimasukkan dengan sedikit cuka dan maltose supaya kulit itik panggang itu menjadi garing dan ranggup selepas siap nanti.

"Seterusnya saya akan menjemurnya di bawah cahaya matahari selama dua jam dan kemudian diperap pula dengan rempah khas sebelum dipanggang," ulasnya.

Nurkhaalisha berkata, nasi daun lemuni bersama itik panggang itu dijual pada harga RM10 manakala nasi bersama gulai itik dijual pada harga RM12. - Sinar Harian