Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz serta delegasi pelancongan yang berada di Paris untuk mesyuarat Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) berada dalam keadaan selamat.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalannya Datuk Mas Ermieyati Samsudin kepada pemberita selepas menghadiri program Karnival Nilai-Nilai Murni dan Semarak Warisan 2015 di sini hari ini.

"Syukur Alhamdulillah saya difahamkan delegasi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang diketuai Yang Berhormat Menteri (Nazri) berada dalam keadaan selamat, kita doakan semoga menteri dan rombongan akan kembali ke Malaysia secepat mungkin dalam keadaan selamat," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang telah mengorbankan lebih 100 nyawa dan sentiasa mendoakan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Paris.

FOTO: Serangan bersiri di Paris, sekurang-kurangnya 153 maut

Dalam pada itu Mas Ermieyati turut menasihatkan kepada mereka yang sudah merancang percutian ke Paris sama ada yang sudah memiliki tiket penerbangan, agar mendapatkan maklumat dan pandangan terlebih dahulu daripada pihak Kementerian Luar.