KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) akan menganjurkan Forum Ekonomi Kebangsaan (NEF) 2024 pada 9 Mei depan di Hotel One World di Petaling Jaya, Selangor.

Dalam kenyataannya pada Selasa, NCCIM berkata forum itu akan dirasmikan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Bertemakan 'Strategic Innovation and Global Alliances: Propelling Malaysia to the Forefront of the Global Economy,' NEF 2024 akan menghimpunkan sehingga 800 pemimpin pelbagai sektor bagi menyertai perbincangan kritikal yang turut membantu membentuk landskap ekonomi Malaysia.

Forum itu turut mengetengahkan tiga panel perbincangan melibatkan panelis dan perantara dalam topik seperti transformasi ekonomi dan hala tuju strategik bagi Malaysia menjadi kuasa peneraju berdaya saing di pentas global.

Acara itu disokong oleh usaha kolektif lima konstituen NCCIM iaitu Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM); Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM); Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI); Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) dan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) yang mewakili keahlian sebanyak 750,000 orang.

-- BERNAMA