Negara kuasa besar diseru meneruskan usaha mengambil tindakan sewajarnya bagi mengawal dan membanteras aktiviti militan Daish.

Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda UMNO, Datuk Mohamed Hazali Abu Hassan berkata, perbuatan Daish secara jelas amat melampaui batas dan tidak langsung mencerminkan ajaran Islam sebenar.

"Pemuda UMNO kesal dan sedih dengan beberapa siri serangan bom yang menjadikan orang awam sebagai sasaran di beberapa negara termasuk insiden terbaharu di Masjid Nabawi, Madinah, Arab Saudi.

"Perbuatan berkenaan secara jelas amat melampaui batas dan tidak langsung mencerminkan ajaran Islam sebenar.

"Sekiranya pihak IS bertanggungjawab di atas insiden di Madinah hari ini dan di tempat lain, kami berasa sungguh sedih di atas tindak tanduk kumpulan yang tidak bertanggungjawab ini.

"Ia berlaku di penghujung Ramadan ketika umat Islam di seluruh dunia menghampiri Syawal," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas di tiga bandar raya Arab Saudi semalam yang meragut nyawa empat pegawai keselamatan dan menyebabkan lima orang cedera.

Setiausaha agungnya, Iyad Ameen Madani, berkata mereka yang melakukan, merancang atau menyokong serangan itu begitu terdesak dalam tindakan mereka hingga sanggup menjejaskan keselamatan dan kestabilan Arab Saudi serta rantau itu dan dunia Islam amnya.

Dalam pada itu kata Mohamed Hazali, Pemuda UMNO secara secara konsisten menyeru masyarakat dunia menolak segala ajaran dan ideologi kumpulan yang semakin melampau.

"Ia seolah-oleh tiada penghujungnya," katanya.