KUALA LUMPUR: Negara membangun perlu memperkukuh daya tahan sistem kewangan masing-masing melalui inovasi, termasuk mengurangkan kebergantungan terhadap dolar Amerika Syarikat (AS), bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global yang semakin mencabar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sistem kewangan global ketika ini masih terlalu bergantung kepada dolar AS, selain cenderung memberi manfaat yang lebih besar kepada syarikat multinasional berbanding perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menurut beliau, institusi kewangan seperti bank memainkan peranan penting dalam menggerakkan modal dan memacu pertumbuhan ekonomi, namun sistem sedia ada tidak sentiasa memberikan manfaat secara saksama kepada semua pihak.
“Namun, ia juga merupakan sistem yang tidak selalunya memberi manfaat yang sama rata kepada semua orang, sering kali meninggalkan mereka yang mempunyai sumber dan peluang yang paling sedikit.
“Ini adalah legasi yang kita warisi di negara membangun, dari China hingga India, Malaysia dan Asia Tenggara. Kita mewarisi sistem yang terlalu bergantung pada dolar dan biasanya menguntungkan syarikat multinasional besar berbanding pemilik perniagaan kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Operasi Global Ant International Kuala Lumpur di Tun Razak Exchange (TRX), di sini, hari ini.
Anwar berkata, meskipun dolar AS masih menjadi mata wang utama dalam urus niaga kewangan global, Malaysia dan China terus memperluaskan penggunaan mata wang tempatan, iaitu ringgit dan yuan, dalam perdagangan dua hala.
Katanya, peningkatan penggunaan mata wang tempatan daripada lima peratus kepada 18 peratus mencerminkan keyakinan dan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan ekonomi serta mengurangkan kebergantungan terhadap sistem kewangan yang berasaskan dolar AS.
Beliau turut menegaskan bahawa revolusi digital membuka ruang kepada pembangunan sistem pembayaran rentas sempadan yang lebih cekap, sekali gus membantu mengurangkan ketidaktentuan berkaitan pertukaran mata wang dan memperkukuh perdagangan antarabangsa.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan keputusan Ant International, syarikat teknologi kewangan di bawah konglomerat China, Alibaba Group, untuk menubuhkan Pusat Operasi Globalnya di Kuala Lumpur.
“Kita mengalu-alukan keputusan Ant International untuk menubuhkan Pusat Operasi Globalnya di Kuala Lumpur. Namun, biarlah jelas bahawa teknologi, kewangan dan inovasi bukanlah matlamat itu sendiri.
“Sebaliknya, ia perlu menjana nilai sebenar kepada ekonomi dengan mewujudkan pekerjaan berkualiti, memperkukuh keupayaan tempatan, memperluaskan peluang kepada perniagaan serta meningkatkan akses kepada perkhidmatan yang mampu milik, khususnya bagi golongan yang sebelum ini sering tercicir,” katanya.