SHAH ALAM: Negara pembekal makanan ASEAN bersetuju memberi komitmen untuk mengutamakan pengeksportan bahan makanan mereka kepada negara anggota yang mengalami kekurangan bekalan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata komitmen itu antara keputusan penting yang dicapai semasa Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF) kali ke-45.

"Kita berbincang soal keterjaminan makanan, misalnya kalau dalam kalangan negara ASEAN ini ada berlaku kekurangan, kita harap negara ASEAN yang lain dapat menampung dengan cepat," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) bersama delegasi mesyuarat tersebut di sini hari ini.

Lawatan itu turut disertai oleh delegasi Jepun dan Korea Selatan sebagai ahli ASEAN Campur 3 serta Timor-Leste sebagai negara pemerhati ASEAN.

Mohamad berkata rakan sejawatnya dari Thailand telah menyatakan komitmen negara itu kepada Malaysia untuk membekalkan beras dan ayam lebih cepat sekiranya perlu dan mengikut keupayaan negara jiran itu.

"Kalau nak dapat dari Brazil mungkin ambil masa, tetapi dengan Thailand kurang seminggu kita dah dapat ayam itu, kalau kita perlu dan beras juga begitu.

"Menterinya menyatakan selagi ada keupayaan, mereka akan tetap menjual beras mereka kepada Malaysia, sama juga Vietnam (pengeluar beras) yang menyatakan mereka akan mengutamakan ASEAN terlebih dahulu," katanya.

Berkenaan lawatan di TBNSA, Mohamad berkata pihak yang berkaitan perlu mempergiat promosi untuk menarik lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara untuk datang ke taman tersebut.

TBSA yang terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Cherakah telah diwartakan bagi tujuan persekutuan dan kini kira-kira 200 hektar telah dibangunkan bagi tujuan konservasi, penyelidikan, pendidikan, eksplorasi dan agropelancongan yang dikendalikan pihak TBNSA, di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.