NATIONAL
Negeri Sembilan diminta segera proses kebenaran merancang pelabuhan kontena di Port Dickson

Anthony Loke berkata pelabuhan itu merupakan pemangkin penting kepada pembangunan Negeri Sembilan khususnya kepada pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0 sekali gus memperkukuh sektor perindustrian negeri.
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan terutama pihak berkuasa tempatan diminta untuk segera memproses permohonan kebenaran merancang bagi projek pembinaan pelabuhan kontena bercirikan kecerdasan buatan (AI) di Port Dickson.
Ringkasan AI
- Kerajaan Negeri Sembilan diminta mempercepatkan proses kebenaran merancang bagi projek pembinaan pelabuhan kontena bercirikan kecerdasan buatan (AI) di Port Dickson, yang dijangka menjadi pemangkin penting kepada pembangunan negeri.
- Pelabuhan ini akan memperkukuh sektor perindustrian dan pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0, dengan pelaburan daripada syarikat swasta telah diperolehi dan dana disediakan.
- Cadangan lain termasuk mempercepatkan kelulusan pelaburan semikonduktor, membangunkan taman perindustrian melalui kerjasama 'Two Countries, Twin Parks', dan meningkatkan infrastruktur di kawasan luar bandar.
"Saya secara berseloroh beritahu pada Perdana Menteri, Port Dickson ini nama Port tapi tiada Port (pelabuhan) hanya ada jeti jadi kita harapkan pelabuhan kontena ini direalisasikan, ini merupakan pembangunan kontena pertama dalam sempadan maritim negeri," katanya ketika sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini.
Loke (PH-Chennah) turut berharap kerajaan negeri mempercepat kelulusan pelaburan berkaitan semikonduktor menerusi projek MVV2.0 sekali gus memastikan sektor berkenaan terus diperkasakan lebih-lebih lagi komponen elektrik itu kini meraih permintaan tinggi.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata Negeri Sembilan juga boleh mengambil peluang membangunkan taman perindustrian menerusi kerjasama penaiktarafan projek 'Two Countries, Twin Parks' antara China dan Malaysia yang telah ditandatangani memorandum persefahamannya baru-baru ini.
"Two Countries Twin Park itu bukan hanya terhad pada satu tempat, selain Kuantan, Pahang, kita harap Seremban juga jadi pilihan, saya yakin MVV 2.0 ada tanah dan persekitaran sesuai untuk diwujudkan twin park," katanya.
Datuk Saiful Yazan Sulaiman (BN-Johol) pula mencadangkan agar diwujudkan pasukan pelaburan negeri secara khas bagi meneroka pasaran alternatif seperti Timur Tengah, Asia Selatan dan Afrika selain meningkatkan kemudahan kepada pelabur dalam teknologi hijau dan automasi selaras agenda pendigitalan.
Beliau turut mencadangkan supaya syarikat berkaitan kerajaan lebih agresif dalam memacu ekonomi negeri dan tidak bergantung kepada model perniagaan konvensional semata-mata berikutan dunia kini bergerak ke arah AI dan ekonomi berasaskan data.
Dalam pada itu, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (BN-Jeram Padang) menggesa kerajaan negeri memberi keutamaan terhadap pembangunan infrastruktur terutama di kawasan luar bandar yang penting bagi sektor pertanian dan perindustrian selain mencadangkan jalan utama sedia ada dilebarkan dan jajaran baharu diwujudkan bagi kawasan yang jauh dari pusat bandar.
"Sebagai contoh, kesesakan lalu lintas yang teruk di Kuala Pilah terutama ketika musim perayaan menjejaskan kesejahteraan rakyat. Isu ini menunjukkan desakan terhadap perubahan. Jika tidak ditangani secara serius, ia boleh menjejaskan usaha memperkukuh ekonomi negeri dan merencatkan perkembangan sektor pelancongan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami