Ringkasan AI
- Mahathir Nor Daniel, atlet papan selaju berusia 16 tahun dari Johor, layak ke Sukan Olimpik Remaja di Dakar pada Oktober ini.
- Kejayaan Mahathir didorong program pembangunan The Razkals, bimbingan jurulatih Shahrizul Ikwan dan Mariss Khan, serta sokongan MySKATE.
- Kekangan fasiliti dan dana tempatan menjadi cabaran utama pembangunan atlet papan selaju menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dan Brisbane 2032.
KUALA LUMPUR: Arena sukan papan selaju (skateboarding) tanah air melakar satu pencapaian bersejarah apabila atlet muda negara, Mahathir Nor Daniel, mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Remaja yang akan berlangsung di Dakar bermula 31 Oktober ini.
Skater berusia 16 tahun dari Kulai, Johor itu layak beraksi dalam acara 'street skateboarding' yang menawarkan pingat rasmi, sekali gus meneruskan momentum cemerlang selepas melalui program pendedahan antarabangsa yang konsisten sejak 2023.
Seramai 12 atlet lelaki dan 12 wanita akan bersaing dalam acara street skateboarding di kompleks tepi laut Tour de l'Oeuf di Dakar dari 2 hingga 5 November.
Mahathir berkata beliau perlu melengkapkan 'run' di Dakar untuk membolehkannya layak ke peringkat final ataupun menduduki podium.
“Untuk mendapat kedudukan yang baik di Dakar nanti, saya perlu melengkapkan run yang dirancang oleh jurulatih saya, Shahrizul Ikwan.
“Di Asuncion awal bulan ini, saya berjaya membuat run yang baik semasa latihan, namun beberapa faktor luar kawalan menyebabkan saya tidak dapat run yang sempurna,” kata Mahathir.
Kejayaan ini turut didorong oleh usaha berterusan program pembangunan pasukan profesional The Razkals di bawah bimbingan jurulatih dan pengurus, Shahrizul Ikwan, serta jurulatih kebangsaan, Mariss Khan, bersama Persekutuan Luncur Beroda Malaysia (MySKATE).
Perjalanan prestasi Mahathir menyaksikan peningkatan mendadak apabila beliau meniti cabaran di kejohanan peringkat dunia termasuk kejohanan World Skate Tour (WST) Kejohanan Street Dunia di Tokyo, World Cup Rom, dan Kitakyushu, selain membawa cabaran negara di Sukan SEA.
Mahathir berjaya melangkah ke peringkat final dalam temasya sukan dwi-tahunan tersebut.
Pendedahan berdepan atlet-atlet elit antarabangsa diakui menjadi titik tolak kepada keyakinan diri atlet muda itu.
"Berkongsi gelanggang dengan juara dunia dan juara Olimpik membuka minda saya untuk percaya kepada diri sendiri yang saya mampu melakukan apa yang mereka boleh lakukan," katanya.
Misi seterusnya bukan sahaja menyertai pelbagai kejohanan, tetapi berkelana ke luar negara seperti mengadakan latihan berpusat bersama pasukan kebangsaan Thailand dan Indonesia bagi menajamkan kemahiran teknikal yang lain.
Pada usia 16 tahun, Mahathir merupakan antara peluncur papan selaju terbaik negara dan pernah dinobatkan sebagai jaguh street skateboarding kebangsaan pada kejohanan National Skate Championship 2024.
Malah, kedudukan Mahathir dalam World Skate Ranking (WSR) kini mengatasi beberapa atlet senior yang pernah bertanding.
Walaupun pernah tersisih daripada beberapa kejohanan domestik akibat kecederaan patah tangan pada 2025, Mahathir kekal kukuh dalam kelompok tujuh terbaik di Malaysia.
Selain cemerlang dalam papan selaju, beliau turut aktif dalam sukan olahraga di peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD) dan merangkul pingat perak dalam acara 4 x 400 meter.
Walaupun berjaya mencatat lonjakan ketara dalam ranking dunia serta penguasaan variasi trick teknikal yang lebih kompleks, laporan dan analisis program turut mengetengahkan pelbagai cabaran infrastruktur tempatan serta kekangan dana dalam pembangunan atlet ini.
Kekangan fasiliti dan ketiadaan skatepark bertaraf pertandingan antarabangsa di Malaysia menuntut komitmen yang lebih serius daripada pelbagai pihak demi memastikan kesinambungan bakat pelapis menuju ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dan Brisbane 2032.