Skip to main content
Advertisement

Hiburan

Tiara Jacquelina dan nafas baharu PGL: Legenda yang terus menembusi zaman

Daripada pelakon yang menghidupkan watak Puteri Gunung Ledang, penerbit yang membangunkan jenamanya, hinggalah kini sebagai pengarah yang memimpin generasi baharu, Tiara Jacquelina memahami nadi karya ini lebih daripada sesiapa.
Daripada pelakon yang menghidupkan watak Puteri Gunung Ledang, penerbit yang membangunkan jenamanya, hinggalah kini sebagai pengarah yang memimpin generasi baharu, Tiara Jacquelina memahami nadi karya ini lebih daripada sesiapa.

Advertisement

PETALING JAYA: Dalam teori seni persembahan, hanya sebilangan kecil karya berjaya melepasi batas zamannya sendiri. 

Sebahagian besar hidup sebagai kenangan kepada generasi yang membesarkannya, manakala hanya karya tertentu terus menemukan khalayak baharu tanpa kehilangan maknanya.

Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL) nampaknya berada dalam kategori itu.

Apabila pementasan 2026 mencatat jualan 23,000 tiket dan habis dijual dalam tempoh hanya dua jam, ia membuktikan bahawa legenda tersebut masih mempunyai tempat dalam imaginasi budaya masyarakat Malaysia. 

Lebih mengujakan, produksi berskala besar itu bakal dipentaskan di The Grand Theatre, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway City dari 31 Oktober hingga 15 November ini, sekali gus menandakan kepulangan semula sebuah karya yang pernah mencetuskan fenomena dalam landskap teater tempatan.

Image
Sumber: ENFINITI
Generasi baharu dalam pementasan PGL 20206 tidak dibayangi interpretasi lampau, sebaliknya membina pemahaman mereka sendiri terhadap watak dan konflik yang terkandung dalam naskhah.

Di sebalik sambutan luar biasa itu berdiri seorang tokoh yang telah melalui hampir setiap fasa perjalanan karya berkenaan. 

Daripada pelakon yang menghidupkan watak Puteri Gunung Ledang, penerbit yang membangunkan jenamanya, hinggalah kini sebagai pengarah yang memimpin generasi baharu, Puan Sri Tiara Jacquelina memahami nadi karya ini lebih daripada sesiapa.

Menariknya, kepulangan semula PGL kali ini tidak dibina atas keghairahan untuk mengubah apa yang sudah terbukti berjaya. 

Sebaliknya, ia bertolak daripada keyakinan bahawa sesebuah karya yang baik tidak perlu dirombak secara drastik untuk terus relevan.

Menurut Tiara, naskhah tulisan Adlin Aman Ramlie yang menjadi tunjang pementasan itu kekal utuh dengan hanya sedikit penyesuaian bagi memperkayakan pengalaman penonton.

"Kalau mereka pernah menonton musim sebelum ini, mereka akan kenal pasti hanya perubahan kecil. Dialog masih sekitar 95 peratus sama. Naskhah itu sebenarnya sudah cukup sempurna," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui pada sesi latihan PGL 2026, di sini, baru-baru ini.

Bagi beliau, perubahan yang dilakukan lebih berupa penambahbaikan yang dapat memperkukuh pengalaman penceritaan tanpa menjejaskan identiti asal karya tersebut.

Namun cabaran terbesar musim baharu ini bukan terletak pada naskhah, sebaliknya pada usaha menghidupkan semula dunia PGL menerusi kelompok pelakon yang datang daripada generasi berbeza.

Rata-rata mereka tidak pernah menyaksikan sendiri fenomena PGL ketika dipentaskan pada 2006 dan 2009. 

Ketika itu, kebanyakan pelakon yang terlibat hari ini masih berada di bangku sekolah atau masih kanak-kanak.

"Saya fikir ramai daripada mereka tidak pernah menonton PGL. Mereka tiada bayangan tentang pementasan terdahulu, kecuali Aqasha dan Mila yang menontonnya hampir setiap hari," ujarnya.

Dalam satu sudut, keadaan itu menjadi kelebihan tersendiri. Generasi baharu tidak dibayangi interpretasi lampau, sebaliknya membina pemahaman mereka sendiri terhadap watak dan konflik yang terkandung dalam naskhah.

Sebagai pengarah, Tiara mengakui tanggungjawab kali ini jauh lebih berat berbanding ketika membawakan watak Puteri Gunung Ledang pada dua musim terdahulu.

"Apabila kita mahu menghasilkan sebuah pementasan sebesar ini, tanggungjawab itu memang berat. 

"Proses memilih pelakon juga sangat mencabar kerana saya sedar tidak semua orang mampu memberikan komitmen yang diperlukan."

Kini, fokusnya bukan lagi kepada satu watak, tetapi keseluruhan alam persembahan yang dibina di atas pentas.

"Saya melihat semuanya dari kaca mata pengarah. Saya mahu mendalami setiap karakter dan memastikan setiap pelakon benar-benar memahami perjalanan emosi watak masing-masing."

Produksi baharu itu turut menampilkan set dan kostum serba baharu. 

Walaupun pementasan kali ini berlangsung di lokasi berbeza dan tanpa penggunaan sistem hidraulik yang pernah menjadi antara elemen teknikal produksi terdahulu, Tiara yakin kekuatan emosi cerita akan tetap sampai kepada penonton.

"Kita ada set baharu, kostum baharu. Dari segi emosi, jalan cerita itu tidak akan terjejas."

Tumpuan penonton turut terarah kepada dua nama yang diberikan tanggungjawab menggalas watak ikonik Puteri Gunung Ledang, iaitu anak sulung Tiara, Hani Karmila dan Aisha Retno. 

Watak tersebut bukan sahaja sinonim dengan Tiara, malah dianggap antara karakter wanita paling berpengaruh dalam sejarah teater muzikal tempatan.

Menyedari perbandingan pasti berlaku, Tiara melihatnya sebagai sesuatu yang lumrah apabila sesebuah karya besar dipentaskan semula.

"Saya rasa penonton akan membuat perbandingan sebelum mereka datang menonton. 

"Tetapi selepas mereka menonton, mereka akan melihat bahawa Mila dan Aisha membawa karakter puteri yang berbeza, walaupun falsafah dan semangatnya masih sama," jelasnya.

Image
enfiniti
Dari kiri Aqasha, Hani Karmila dan Mimi Fly antara wajah baharu dalam pemetasan PGL 2026.
Image
enfiniti
Selepas membuktikan kehebatan sebagai penyanyi dan komposer, Aisha Retno akan diuji pula di pentas teater.

Menurutnya, kedua-dua pelakon itu memiliki pendekatan tersendiri yang memberikan warna baharu kepada watak berkenaan tanpa menghilangkan roh asal yang menjadikan Puteri Gunung Ledang begitu dekat di hati penonton.

Malah, Tiara secara khusus mengagumi kesungguhan Aisha yang sentiasa bertanya, mencari penjelasan dan mendapatkan tunjuk ajar sepanjang proses latihan.

Dalam dunia seni persembahan, sifat ingin belajar sering menjadi pemisah antara bakat dan kecemerlangan. 

Komitmen seperti itulah, kata Tiara, yang memberikan keyakinan bahawa generasi pelapis mampu memikul tanggungjawab besar untuk meneruskan legasi PGL.

Hakikatnya, kejayaan luar biasa jualan tiket musim baharu ini membawa mesej yang lebih besar daripada sekadar kejayaan sebuah produksi.

Ia memberi isyarat bahawa PGL masih mempunyai masa depan yang panjang.

Tiara mengimbau bagaimana pementasan yang dirancang pada 2020 terpaksa dibatalkan akibat pandemik COVID-19 walaupun sambutan ketika itu juga amat memberangsangkan.

"Kali ini tiket habis dijual dalam masa dua jam. Sebanyak 23,000 tiket terjual dan apa yang mengejutkan, jumlah mereka yang masih memburu tiket hampir dua kali ganda lebih ramai."

Sambutan itu, katanya, menjadi bukti bahawa karya berkualiti akan sentiasa menemukan penontonnya.

"Sejujurnya saya terkejut. Selepas 20 tahun, naskhah ini masih diterima ramai. Saya tak pernah sangka karya ini akan diraikan untuk tempoh yang begitu panjang," ujarnya dalam nada penuh kesyukuran.

Barangkali di situlah letaknya keistimewaan sebenar Puteri Gunung Ledang The Musical. 

Ia bukan sekadar produksi yang berjaya mengisi panggung atau mencipta rekod jualan tiket, tetapi sebuah karya yang terus menemukan makna baharu setiap kali dipersembahkan kepada generasi berbeza.

Dua dekad selepas kemunculan pertamanya, PGL tidak lagi sekadar sebuah muzikal. Ia telah berkembang menjadi sebahagian daripada memori budaya negara. 

Dan apabila tirai kembali dibuka di The Grand Theatre, JCPAC mulai 31 Oktober ini, ia bukan hanya meraikan sebuah legenda lama, tetapi membuktikan bagaimana karya seni yang lahir daripada ketelitian, keberanian dan imaginasi mampu terus hidup merentasi zaman.

 

 

Must Watch Video

Advertisement