Skip to main content

Malaysia

Nelayan berlesen di Melaka dapat kebenaran khas tangkap ikan di Pulau Besar

81729133189_Nelayan.jpg
Ab Rauf berkata syarat yang ditetapkan termasuk hanya dibenarkan kepada vesel atau sampan tradisional yang mempunyai lesen sah manakala peralatan menangkap ikan yang dibenarkan adalah kaedah kail-mengail seperti pancing, rawai serta candat sotong. - Gambar hiasan
Advertisement

MELAKA: Nelayan berlesen di Melaka mendapat kebenaran khas untuk menangkap ikan di kawasan larangan perikanan Pulau Besar di sini, tertakluk kepada syarat pelesenan serta pemantauan Jabatan Perikanan.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kebenaran itu diputuskan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 15 April lepas berdasarkan Pekeliling Pelesenan Bilangan 2 Tahun 2026 yang memberi manfaat kepada 1,241 komuniti nelayan di negeri itu.

Katanya, keputusan itu merupakan hasil daripada perbincangan, rundingan dan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperjuangkan kebajikan serta kelangsungan hidup nelayan tempatan yang selama ini terkesan dengan sekatan aktiviti penangkapan ikan di kawasan berkenaan.

"Sebagaimana diketahui umum, perairan Pulau Besar diwartakan sebagai Kawasan Larangan Perikanan sejak 1998 di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994 bagi tujuan pemuliharaan sumber marin dan biodiversiti.

"Namun begitu, Kerajaan Persekutuan telah mengambil kira kepentingan sosioekonomi komuniti nelayan tempatan dan bersetuju memberikan kebenaran khas kepada nelayan berlesen di Melaka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bulan Jun 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata syarat yang ditetapkan termasuk hanya dibenarkan kepada vesel atau sampan tradisional yang mempunyai lesen sah manakala peralatan menangkap ikan yang dibenarkan adalah kaedah kail-mengail seperti pancing, rawai serta candat sotong.

Katanya, aktiviti penangkapan ikan hanya dibenarkan dari 6 pagi hingga 6 petang dan operasi penangkapan hanya boleh dilakukan di kawasan yang ditetapkan, iaitu di sebelah utara Pulau Besar.

Ab Rauf berkata bagi memastikan pelaksanaan kebenaran khas itu berjalan lancar, satu sesi libat urus bersama wakil nelayan akan diadakan pada Jumaat ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sedang melaksanakan Program Subsidi Insentif Logistik Negeri Melaka 2026 yang akan memberi manfaat kepada 300 petani yang layak di negeri itu.

"Menerusi program ini, petani terlibat layak menerima insentif sebanyak RM300 secara sekali beri dan saya berharap inisiatif berkenaan dilaksanakan secara telus serta dihebahkan secara menyeluruh supaya tiada petani yang layak tercicir daripada menerima bantuan yang disediakan," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri kini bekerjasama dengan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dalam menjayakan fasa baharu inisiatif Kampung Digital.

Katanya, menerusi kerjasama itu, JUPEM memperuntukkan sebanyak RM3.29 juta bagi penyediaan data dan pemetaan yang lebih tepat untuk menyokong perancangan pembangunan yang tersusun serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Sementara itu, beliau berkata inisiatif baharu, iaitu 'Jelajah Ketua Menteri' sedang diselaraskan oleh Pejabat Ketua Menteri serta Bahagian Komunikasi Korporat dan akan memulakan siri jelajahnya pada 5 Julai ini.

"Menerusi jelajah ini, saya akan turun ke dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh sehari untuk melihat sendiri keadaan di lapangan, mendengar secara langsung isu dan keperluan rakyat, sekali gus menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

"Saya mahu setiap kunjungan berakhir dengan tindakan yang jelas dan bukan sekadar mendengar dan mencatat, tetapi memastikan setiap isu disalurkan kepada pihak yang bertanggungjawab, diberikan tindakan susulan dan dipantau sehingga selesai," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement