KUALA LUMPUR:New Zealand, Vietnam dan Taiwan tersenarai sebagai negara-negara terbaik mengurus pandemik COVID-19 dengan meraih tiga tangga tertinggi dalam ranking Indeks Prestasi COVID oleh Lowy Institute.

Malaysia menduduki tangga ke-16 dengan skor purata 71 peratus, tiga tangga bawah negara jiran Singapura pada tempat ke-13 dengan skor purata 74.9 peratus.

Lain-lain negara yang merekodkan sepuluh tangga tertinggi dalam ranking tersebut termasuk Thailand, Cyprus, Rwanda, Iceland, Australia, Latvia dan Sri Lanka.

Antara negara-negara tercorot dalam pengurusan pandemik termasuk Indonesia (tempat ke-85), Amerika Syarikat (ke-94) dan Brazil (ke-98).

Secara keseluruhan, sebanyak 98 negara dinilai sepanjang 36 minggu oleh pertubuhan pemikir itu sehingga 9 Januari 2021 berdasarkan enam penunjuk.

Antara penunjuk yang diambil kira termasuk kes positif, kes kematian, dan jumlah ujian saringan bagi setiap 1,000 orang.

Indeks itu menunjukkan negara-negara di rantau Asia Pasifik paling berjaya mengekang penularan wabak itu, manakala Eropah dan Amerika Syarikat dibeban dengan peningkatan kes secara mendadak.

Beberapa faktor struktural didapati berkait rapat dengan kejayaan sesebuah negara dalam menangani wabak, namun tiada satu teori yang mampu merangkumkan perbezaan dalam pendekatan negara-negara terhadap krisis itu.

“Sebagai contoh, negara-negara kecil (dengan populasi bawah 10 juta orang) terbukti lebih fleksibel berbanding majoriti negara besar dalam menangani kecemasan kesihatan itu pada 2020,” kata laporan tersebut.

Manakala tahap pembangunan ekonomi atau perbezaan sistem politik pula kurang memberi kesan terhadap hasil pengurusan krisis kesihatan.

COVID-19 | NZ negara terbaik urus COVID-19, Malaysia ke-16


“Secara umumnya, negara dengan populasi yang lebih kecil, masyarakat yang bersatu-padu, serta institusi yang berkemampuan mempunyai kelebihan dalam menangani krisis global seperti pandemik.”

“Bagaimanapun, jenis-jenis dasar yang dilaksanakan dan situasi politik semasa turut menyumbang kepada pendekatan sesebuah negara terhadap pandemik ini.”

Berikut adalah ranking negara dalam mengurus pandemik COVID-19:
  1. New Zealand
  2. Vietnam
  3. Taiwan
  4. Thailand
  5. Cyprus
  6. Rwanda
  7. Iceland
  8. Australia
  9. Latvia
  10. Sri Lanka
  11. Estonia
  12. Uruguay
  13. Singapura
  14. Malta
  15. Togo
  16. Malaysia
  17. Finland
  18. Norway
  19. Lithuania
  20. Korea Selatan
  21. Tunisia
  22. Slovakia
  23. Denmark
  24. Myanmar
  25. Maldives
  26. Mozambique
  27. Malawi
  28. Trinidad dan Tobago
  29. Zambia
  30. Uganda

[INFOGRAFIK] Apakah langkah terbaik dalam melandaikan jangkitan baharu COVID-19?