Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa pada Jumaat menemui tiga rakyat Malaysia yang cedera diserang pengganas di Christchurch minggu lalu.

Mereka ialah Mohd Tarmizi Shuib, Mohd Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad.

"Alhamdulillah. Selepas selesai solat Jumaat, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengambil peluang untuk menziarahi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa insiden serangan pengganas di Christchurch, New Zealand iaitu saudara Mohd Tarmizi Shuib, Mohd Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad," katanya dalam status yang dimuat naik di laman sosial Facebooknya pada Jumaat.

BACA: Jacinda sekali lagi lawat Nazril Hisham


Pada pertemuan itu, Mujahid turut menyampaikan sumbangan rakyat Malaysia kepada ketiga-tiga rakyat Malaysia itu.

"YB Menteri turut menyerahkan sumbangan daripada rakyat Malaysia kepada mereka. Beliau juga sempat bertemu dengan keluarga mangsa serta rakyat Malaysia yang tinggal di sana yang telah banyak membantu urusan mangsa dan keluarga mereka di sini," tambahnya.


Mujahid merupakan wakil rasmi kerajaan Malaysia ke Christchurch, New Zealand untuk bertemu rakyat Malaysia yang terjejas dengan serangan dan sempat menunaikan solat Jumaat dj Hagley Park South, Christchurch bersama masyarakat muslim di situ.