Skip to main content

Malaysia

NGO diseru gerakkan kempen antibuli, sedia platform sokongan mangsa

Sivaraj
Sivaraj Chandran berkata isu buli tidak boleh dipandang ringan kerana kesannya terhadap mangsa boleh berpanjangan, malah dalam keadaan tertentu membawa kepada tragedi yang tidak sepatutnya berlaku. -Gambar Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di setiap daerah diseru mempergiat kempen antibuli serta menyediakan platform sokongan bagi membolehkan mangsa tampil mendapatkan bantuan sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Seruan itu dibuat Pengarah Strategi Nasional MIC, Datuk Sivaraj Chandran, susulan kematian pelajar Tingkatan Dua, G Keziah Nisha, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan isu buli dan perkauman, baru-baru ini.

"Mangsa memerlukan tempat untuk meluahkan apa yang mereka lalui, mendapatkan sokongan dan bantuan supaya mereka mampu melalui situasi berkenaan.

"Saya sakit hati dan kecewa melihat apa yang berlaku kepada ratusan mangsa buli, sedangkan mereka yang didakwa menjadi pembuli masih berkeliaran di luar tanpa sebarang hukuman," katanya dalam hantaran di Facebooknya, di sini, pada Isnin.

Sivaraj berkata isu buli tidak boleh dipandang ringan kerana kesannya terhadap mangsa boleh berpanjangan, malah dalam keadaan tertentu membawa kepada tragedi yang tidak sepatutnya berlaku.

Menurut laporan, mendiang Keziah Nisha dipercayai meninggalkan nota ringkas di telefon pintarnya memaklumkan dia menjadi mangsa buli dan perkauman sebelum ditemukan meninggal dunia.

Dalam nota berkenaan, mangsa turut memohon maaf kepada ibu dan bapa atas tindakannya yang disifatkan sebagai bukan tindakan yang betul.

Mendiang juga mendakwa dirinya dilabel sebagai 'monster' dan 'ugly'.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan siasatan dalaman berhubung kematian pelajar Tingkatan Dua itu yang dikaitkan dengan dakwaan buli verbal, termasuk kata-kata berunsur perkauman, diselesaikan segera.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan polis sudah merakam 92 keterangan saksi setakat Sabtu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan buli.

Must Watch Video

Advertisement