WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dilaporkan telah menggugurkan tokoh konservatif Australia-Amerika, Nick Adams, sebagai calon Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia.
Namun Adams, yang sering menggambarkan dirinya sebagai “alpha male”, mendakwa beliau telah “dinaikkan pangkat” ke satu peranan baharu yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Advertisement
Adams, seorang figura pro-MAGA, penulis dan bekas ahli majlis di Sydney, telah diumumkan sebagai calon Duta Besar AS ke Malaysia pada Julai lalu.
Bagaimanapun, pencalonannya tidak pernah disahkan Senat dan terbatal secara automatik pada akhir tahun, selaras dengan prosedur.
Nama Adams turut tidak muncul dalam senarai panjang pencalonan yang dihantar semula ke Senat pada Januari, termasuk calon untuk Hungary, Norway dan Filipina. Beliau juga tiada dalam senarai tambahan yang diserahkan bulan ini.
Memetik laporan The Sydney Morning Herald, Adams mengesahkan beliau tidak lagi dicalonkan sebagai duta, namun merujuk kepada “tugas baharu” yang katanya akan diumumkan dalam masa terdekat.
Adams bagaimanapun tidak menjawab soalan lanjut mengenai peranan baharunya.
Sementara itu, ahli politik berkenaan turut memaklumkan melalui akaun media sosialnya bahawa satu “Pengumuman Besar” sedang menanti, namun White House tidak memberikan sebarang maklum balas.
Dilahirkan di Sydney, Adams pernah menjadi ahli Young Liberal di Universiti Sydney sebelum dipilih ke Majlis Perbandaran Ashfield. Pada usia 21 tahun, beliau menjadi timbalan datuk bandar termuda dalam sejarah Australia.
Namun pencalonannya sebagai duta menimbulkan kebimbangan di Malaysia, khususnya dalam kalangan majoriti Muslim, berikutan kenyataan lampau beliau yang didakwa menghina Islam dan perjuangan Palestin.
Dalam buku terbitan 2016, Retaking America, Adams mencadangkan agar dasar menahan umat Islam wajar “dibincangkan”, dengan memetik dakwaan “bukti ketidaksetiaan” di peringkat individu dan masjid.
Pada Julai lalu, puluhan individu berhimpun di luar Kedutaan AS di Kuala Lumpur membantah pencalonannya, dengan membawa plakad menuduh beliau “anti-Islam dan pro-Zionis”.
Menurut analisis Bloomberg terhadap rekod Kongres, Adams adalah antara sembilan calon lantikan awam yang tidak dimasukkan dalam senarai kedua ke Senat pada Februari.
Pegawai White House sebelum ini memberitahu Bloomberg bahawa penarikan pencalonan boleh berlaku atas pelbagai sebab, termasuk perubahan pentadbiran, pertukaran tugas atau peluang baharu.
Pencalonan Adams turut mencetuskan kontroversi disebabkan kenyataan beliau yang dianggap misoginis serta sokongan terbuka terhadap Israel pada 2024.
Beliau juga dikenali dengan kesetiaan kepada rangkaian restoran Hooters, yang sering dikritik kerana mengeksploitasi wanita.
Susulan pencalonannya, bekas Menteri Undang-Undang Malaysia, Datuk Zaid Ibrahim, menyifatkan Adams sebagai “penghasut sayap kanan” yang tidak layak menjadi duta kerana kekurangan kredibiliti diplomatik.