KUALA LUMPUR: Nilai jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan berjumlah RM141.1 bilion, meningkat 5.5 peratus tahun ke tahun pada Februari 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini berkata peningkatan didorong oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 5.8 peratus atau RM3.4 bilion kepada RM61.5 bilion.

"Pertumbuhan 5.8 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan runcit disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 6.7 peratus atau RM1.5 bilion kepada RM23.6 bilion.

"Kumpulan lain dalam subsektor ini turut mencatatkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai khusus (9.5 peratus); makanan, minuman dan tembakau (8.0 peratus); barangan isi rumah (4.0 peratus); bahan api automotif (3.4 peratus); barangan kebudayaan dan rekreasi (5.4 peratus); bukan di kedai, gerai atau pasar (1.0 peratus); dan jualan runcit melalui gerai dan pasar (3.3 peratus)," katanya.

Mohd Uzir berkata untuk perbandingan bulanan, pertumbuhan negatif sebanyak -0.9 peratus daripada bulan sebelumnya disumbangkan oleh perdagangan borong yang susut -2.3 peratus, diikuti subsektor kenderaan bermotor yang menguncup -1.4 peratus.

Beliau berkata pertumbuhan negatif dalam perdagangan borong disumbangkan kebanyakannya oleh penurunan dalam borong makanan, minuman dan tembakau (-5.6 peratus); borong khusus lain (-1.3 peratus), borong jentera, peralatan dan bekalan (-4.3 peratus), dan barangan isi rumah (-1.3 peratus).

Mengulas mengenai subsektor perdagangan borong, Mohd Uzir berkata perdagangan borong berkembang dengan mencatatkan 5.2 peratus atau RM3.1 bilion kepada RM62.2 bilion, diikuti kenderaan bermotor dengan pertumbuhan 5.4 peratus atau RM0.9 bilion untuk berada pada pada RM17.4 bilion.

"Peningkatan 5.2 peratus tahun ke tahun pada Februari disokong oleh borong khusus lain yang melonjak RM1.6 bilion atau 7.4 peratus kepada RM23.7 bilion.

"Ini diikuti dengan pemborongan makanan, minuman dan tembakau (4.0 peratus); barangan isi rumah (3.7 peratus), bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (5.6 peratus), perdagangan borong bukan pengkhususan (5.4 peratus), jentera, peralatan dan bekalan (1.7 peratus) dan borong berdasarkan yuran atau kontrak (0.8). peratus)," katanya.

Mohd Uzir berkata pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.4 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor didorong oleh jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor yang meningkat 13.7 peratus atau RM0.6 bilion kepada RM4.9 bilion.

"Ini diikuti dengan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (14.1 peratus) dan penjualan kenderaan bermotor (0.2 peratus).

"Sebaliknya, bagu perbandingan bulanan, subsektor ini menguncup -1.4 peratus disebabkan jualan kenderaan bermotor yang merosot -4.5 peratus," katanya.

Sementara itu, bagi indeks jualan runcit melalui internet, Mohd Uzir melaporkan bahawa indeks itu meningkat 0.4 peratus tahun ke tahun pada Februari 2024 berbanding -1.6 peratus pada Januari 2024.

Bagaimanapun, untuk nilai pelarasan musim, indeks itu naik 0.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Selain itu, beliau berkata perdagangan borong dan runcit bagi Februari 2024 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 3.9 peratus dari segi indeks volum.

"Pengembangan itu disebabkan semua subsektor iaitu perdagangan runcit (4.5 peratus), perdagangan borong (4.3 peratus), dan kenderaan bermotor (2.6 peratus)," katanya.

-- BERNAMA