Nissan NP300 Navara

	Konvoi bermula dengan kotak gear Navara penulis ditetapkan pada 4LO, di mana kesemua tayar mendapat 25% kuasa daripada enjin. Ini memberi kelebihan dari segi cengkaman – jika ada tayar yang tidak mencengkam, diharapkan masih ada sekurang-kurangnya satu tayar yang masih boleh menggerakkan kenderaan. Namun begitu ia juga mematikan fungsi kawalan cengkaman (traction control).
	
	Permukaan jalan yang lasak tidak begitu terasa dan ini (mungkin) disebabkan oleh penggunaan suspensi ‘multi-link’ pada trak ini berbanding spring dedaun pada pesaing-pesaingnya.Malangnya ini tidak dapat dipastikan kerana ketiadaan kenderaan dengan suspensi tersebut untuk perbandingan, ditambah lagi dengan kesuntukan masa.
	
	Ruang untuk bekas air sekarang pula terdedah di tengah tapak kerusi belakang, tidak seperti dahulu yang boleh disorok di belakang konsol tengah.
	
	Postur duduk pemandu yang ada agak selesa cuma rak stereng yang tidak teleskopik (tidak boleh diubah depan/belakang) sesuatu yang tidak disangka bagi spesifikasi tinggi varian Navara ini.
	
	Pada keadaan berbukit ini, fungsi Hill-Start Assist (HSA) dan Hill Descent Control (HDC) yang dipasang standard bagi hampir semua varian kecuali ‘single-cab’ dan ‘double-cab’ E (gear manual) sangat berguna. Kenderaan tidak berundur terus apabila hendak mula bergerak di atas cerun mendaki, sebaliknya brek diaktifkan untuk beberapa saat sambil menunggu pendikit ditekan.
	
	Begitu juga ketika menurun bukit dengan bantuan Hill Descent Control, percayakan sahaja sistem untuk mengawal pendikit dan cuba hentikan kaki daripada menginjak brek. Tapi itu lebih mudah dituturkan, bukan dipraktikkan. Pada cerun menurun yang paling mencabar (dan licin!), pergerakkan terasa terlalu laju dan laluan juga agak sempit. Di belah kiri bukit manakala di kanan lembah; ramai pula rakan-rakan media di tepi konon nak mengambil gambar.
	
	Keempat-empat tayar sudah tidak mencengkam – semua kenderaan kami menggunakan tayar AT (all-terrain) standard yang pada ketika itu kurang sesuai. Agak cemas juga, sudah lama tidak merasa empat saat yang begitu lama; tetapi akhirnya dapat mengelak dari apa-apa yang kurang enak.
	
	Bagi sesi pandu uji yang singkat, tidak banyak mana yang dapat kami ketahui. Terutamanya untuk mengetahui karenah trak ini apabila dipandu atas jalan raya biasa. Itu akan kami ketahui apabila mendapat peluang untuk sesi yang lebih panjang kelak. Tapi apa yang NP300 Navara tunjukkan setakat ini amat positif, dan mungkin sebuah trak yang berjaya mengimbangi kualiti lasak dan pemanduan harian dengan lebih baik dari generasi sebelumnya.
	
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

