SEDAR tidak sedar, kita sudah ke arah fasa pemulihan pendemik COVID-19. Semenjak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, perkhidmatan pengangkutan awam seperti MRT, LRT dan KTM Komuter terpaksa mengurangkan perkhidmatan perjalanan. Manakala sektor penerbangan, kemudahan bas awam dan ERL terpaksa dihentikan sementara.

Ketika kita memikirkan fasa seterusnya, pengangkutan awam melalui cabaran yang lebih getir tetapi jika menyesuaikan diri dengan cepat, sudah pasti terdapat peluang untuk mengubah sistem pengangkutan awam untuk selama-lamanya.

Saat memikirkan bagaimana membuka semula kegiatan ekonomi dengan selamat, pengangkutan awam bertempur dengan 3 perkara utama; ketidakpercayaan yang meluas, risiko keruntuhan kewangan dan masalah kapasiti ketika waktu puncak kerana terpaksa menjarakkan sosial.

Kehilangan kepercayaan, kemampuan bertempur dengan jarak sosial dan menyapa kembali ‘kawan lama’

Permintaan akan menurun untuk jangka masa yang agak lama walaupun PKP telahpun dilonggarkan. Kebanyakan pekerja digalakkan untuk bekerja dari rumah dan kebanyakan mereka masih berasa gementar menggunakan pengangkutan awam.

Pengangkutan awam merupakan perniagaan bermargin rendah dan sering bergantung kepada subsidi. Penurunan terhadap permintaannya yang berpanjangan mengakibatkan banyak laluan tidak dapat dilaksanakan.

Manakala perlaksanaan jarak sosial juga mengakibatkan persekitaran bertambah tidak selesa. Walaupun dengan permintaan berkurang, laluan utama masih menghadapi masalah kapasiti pada waktu puncak. Sekiranya jarak sosial dilakukan, kapasiti penggunaannya akan menurun di antara 15 hingga 30 peratus dari tahap pra-COVID.

Memburukkan lagi keadaan apabila berlaku peralihan mod pengangkutan awam kepada pengangkutan persendirian. Di China sendiri, penggunaan kenderaan persendirian melonjak kepada 66 peratus berbanding 34 peratus ketika pra-COVID yang menyaksikan penurunan penggunaan pengangkutan awam yang hampir sama.

Peningkatan penggunaan kenderaan persendirian akan memberikan kesan kepada kesesakan lalu lintas, kualiti udara dan pelepasan karbon dioksida. Di samping itu, langkah-langkah tambahan seperti membasmi kuman dengan lebih kerap, melindungi pekerja dengan peralatan sesuai, membenarkan penumpang duduk di satu-satu tempat untuk menjaga jarak sosial serta mengubah jadual perkhidmatan memberikan kesan kepada anggaran kos yang harus ditanggung.

Perancangan yang teliti telah menjadi keutamaan di dalam penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam.

Mengadaptasi pengangkutan awam ‘hidup dengan’ COVID-19; memastikan keadaan baru yang lebih selamat dan berterusan

Hakikatnya pengangkutan awam merupakan salah satu elemen penting dalam pembangunan ekonomi sesebuah negara. Perkhidmatan pengangkutan awam yang mampan dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Secara amnya, perkhidmatan pengangkutan awam dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, memendekkan masa perjalanan, menjimatkan kos perbelanjaan harian, mengurangkan pencemaran dan kemalangan.

Walaupun kita sedang berhadapan dengan kemelut yang tidak pernah berlaku sebelum ini, namun pengangkutan awam masih mempunyai peluang melalui perubahan yang lebih positif berbanding sebelumnya.

Keupayaan perkhidmatan pengangkutan awam untuk mengadaptasi situasi semasa mampu mengembalikan kepercayaan orang ramai menggunakannya. Kesiapsiagaan yang terancang dan teratur mampu memastikan keadaan baru yang lebih selamat dan berterusan.

Memandangkan perkhidmatan pengangkutan awam mempunyai hubungan langsung dengan para pengguna, maka penekanan yang harus diberikan oleh perkhidmatan pengangkutan awam adalah meningkatkan keberkesanan komunikasi bersama penumpang.

Mekanisma komunikasi yang efektif penting untuk meningkatkan kesedaran mengenai manfaat menggunakan pengangkutan awam dan penerangan mengenai langkah-langkah yang sedang dan telah dilakukan ketika berlakunya krisis.

Para pengguna akan lebih memahami dan membiasakan diri dalam situasi yang baru.Malah, penyelidikan untuk memahami tabiat dan corak perjalanan pengguna juga penting untuk menentukan intervensi yang betul bagi menggalakkan perubahan tingkah laku tersebut.

Ini dapat menyampaikan perkhidmatan berkualiti untuk meningkatkan produktiviti pengangkutan awam.

Normal baharu memerlukan disiplin yang tinggi untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat dan berterusan kepada pengguna. Ia memerlukan kerjasama semua pihak termasuklah para pengguna juga.

Pengguna harus juga harus beradaptasi dan mengikuti segala perubahan yang telah ditetapkan agar perkhidmatan dapat diteruskam walaupun ketika berlakunya krisis. Sekaligus tahap kepercayaan akan meningkat semula dengan masih mengekalkan jarak sosial dan keadaan yang selamat.

Suasana baharu ini jika dipraktikkan sudah pasti memberikan impak baharu kepada budaya masyarakat menggunakan pengangkutan awam yang akhirnya dapat menggerakkan aktiviti ekonomi seperti sedia ada.


* Ts Dr Mohd Fahmy Abdullah ialah Penyelidik Utama ICoE-Rel dan merupakan teknologis profesional di dalam bidang pengangkutan dan logistik dari Malaysian Board of Technologist (MBOT)

** Pandangan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI