Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditamatkan esok (Selasa) akan diganti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini.

Meskipun lebih banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat untuk menjalani aktiviti harian dan rekreasi, namun aktiviti sukan bersentuhan (contact sports) masih tidak dibenarkan.

Ia bukan sahaja menggambarkan aktiviti sukan, malah melibatkan perniagaan yang mengajar kelas sukan berkenaan yang turut terjejas akibat tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, Ketua Jurulatih Leverage Brazilian Jiu Jitsu, Aaron Goh sedia adaptasi dengan normal baharu dengan memperkenalkan program latihan baharu kepada ahli dan pelanggannya.


“Malangnya, dalam sukan bersentuhan ini, memang susah untuk kami untuk mempraktikkan penjarakan sosial.

“Ia tidak bermaksud saya perlu menutup gimnasium saya. Sebagai pemilik perniagaan, saya perlu mengadaptasi.

“Dalam jiu jitsu, kami boleh melakukan senaman solo dan apa sahaja senaman untuk memastikan badan kita kekal cergas supaya apabila kerajaan membenarkan aktiviti sukan bersentuhan, kami boleh kembali berlatih,” katanya ketika menjadi tetamu program Niaga AWANI pada Isnin.

Biarpun beliau menawarkan latihan solo secara dalam talian kepada ahlinya, beliau berkata ia tidak boleh menggantikan latihan fizikal.

Walaupun Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) tidak memberikan manfaat kepada pemilik gimnasium dan perniagaan sukan bersentuhan, beliau tetap komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam menggerakkan semula perniagaan sukan bersentuhan.

“Saya telah menyenaraikan prosedur operasi standard (SOP), perancangan bagaimana untuk mengendalikan gim dan menjaga keselamatan serta mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Dalam bergerak ke hadapan, saya komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dan sudi mengadaptasi,” katanya.