Orang ramai dinasihatkan agar merancang pembelian sempena menyambut Ramadan bagi mengelak berlaku kesesakan di premis jualan terutama pasar dan pasar raya, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan turut memberi peringatan kepada semua pihak agar mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa serta menjaga jarak sosial semasa di premis terbabit bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

"Minggu ini kita akan berpuasa, saya tahu semua akan membeli belah bagi menyambut kedatangan Ramadan. Oleh itu saya ingin menasihatkan agar orang ramai merancang pembelian supaya tidak bersesak-sesak di pasar.

"Saya berharap semua mematuhi arahan termasuk menjaga penjarakan sosial. Saya lihat kalau di pasar raya memang penjarakan sosial dilaksanakan dan kadang-kadang semua orang perlu beratur (sebelum dibenarkan) memasuki pasar raya," katanya.

Justeru beliau berkata, setiap orang perlu membuat perancangan rapi termasuk memilih masa yang sesuai untuk keluar selain mempunyai senarai barangan yang akan dibeli bagi mengelakkan membuang masa di pasar raya atau pasar.

"Sebab itu saya kata kena buat perancangan sebelum membuat pembelian. Apa pun semua tetap kena patuh setiap arahan," katanya dalam sidang media di sini pada Ahad.