NATIONAL
#Nothing2Hide: 'Bukan tak sokong, tapi kecewa' - Wakil NGO

Presiden IKHLAS Mohd Ridzuan Abdullah mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berbincang dengan wakil NGO. -Astro AWANI
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) meluahkan kekecewaan kerana program ‘Dialog PM Bersama NGO’ dibatalkan pagi tadi.
Menurut Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Mohd Ridzuan Abdullah, ini merupakan peluang untuk berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tentang isu semasa.
Sebaliknya program itu dibatalkan pada saat-saat akhir.
“Sehingga hari ini, pertubuhan IKHLAS tidak pernah dapat berjumpa dengan Perdana Menteri. Sudah 20 kali kami utus surat tetapi tidak pernah dapat jumpa sedangkan pertubuhan IKHLAS menyokong Perdana Menteri. Sedangkan NGO yang gigih bantu kerajaan tidak dapat berjumpa dengan Perdana Menteri, bagaimana pula dengan NGO yang biasa.
“Hari ini kebanyakan NGO di dalam negara ini kecewa, bukan ertinya tidak sokong, tetapi kecewa ini yang berlaku,” katanya kepada pemberita.
Beliau juga menyeru Najib untuk terus bertemu dengan wakil NGO kerana pertubuhan-pertubuhan ini mudah faham dengan isu-isu semasa dan dapat menyampaikan maklumat berkenaan kepada orang ramai.
“Kini rakyat lebih selesa dengan NGO maka wakil NGO boleh sampaikan maklumat tentang apa yang berlaku kepada rakyat,” kata Mohd Ridzuan.
Apabila ditanya tentang pembatalan acara seperti yang diumumkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Mohd Ridzuan berkata PWTC milik UMNO dan Barisan Nasional.
“PWTC milik parti keramat. Kenapa perlu ada permit dan sebagainya. Ini bangunan sendiri milik UMNO,” katanya ringkas kepada pemberita.
“Perdana Menteri tidak datang sebab isu keselamatan. Bila Tun Mahathir datang ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mencetuskan provokasi.
“Dalam masa akan datang, kita berharap penganjur akan utamakan keselamatan. Ini penting,” katanya kepada pemberita.
"Kami kesal kerana program menjadi kecoh pagi tadi. Kita kesal dengan tindakan provokasi mana-mana pihak yang ingkar arahan polis. Program ini dianjurkan agar rakyat dapat bertukar pandangan dengan pemimpin," pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (Sukaguam), Datuk Khairul Anwar Rahmat.
Beliau berkata akan berjumpa dengan Najib bagi mendapatkan tarikh baharu untuk mengadakan sesi dialog antara pemimpin negara itu bersama wakil-wakil NGO.
Program tersebut dijadualkan berlangsung pada jam 9 pagi tetapi diumumkan batal sekitar jam 8:55 pagi oleh Khalid.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami