KUALA LUMPUR : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi bahagian penguat kuasa menahan seorang lelaki kerana disyaki menyebabkan karya filem dipertunjukkan di hadapan awam tanpa kebenaran pemilik hak cipta di aplikasi dalam talian.

KPDNHEP dalam satu kenyataan memaklumkan, serbuan dilakukan bersama pemilik hak cipta di sebuah rumah di Seremban, Negeri Sembilan dan disertai lima orang anggota KPDNHEP Putrajaya.

"Serbuan ini adalah hasil daripada risikan selama lebih kurang dua minggu dan maklumat pemilik hak cipta.

"Hasil daripada pemeriksaan tersebut, anggota Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP telah menahan seorang lelaki berbangsa Melayu berumur 45 tahun dan ditahan untuk siasatan lanjut kerana telah disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987 yang menyebabkan karya filem dipertunjukkan di hadapan awam tanpa kebenaran pemilik hak cipta di aplikasi Telegram.

"KPDNHEP turut merampas beberapa barang milik suspek berupa barangan peralatan komunikasi dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM5,000. Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun," katanya.

Sehubungan itu, Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Azman Adam meminta orang ramai agar tidak berkongsi atau mengedarkan mana-mana karya hak cipta termasuk filem, lagu, buku berbentuk digital dan sebagainya di mana-mana medium internet termasuk melalui media sosial tanpa kebenaran pemilik hak cipta.

Pengguna juga disarankan agar menyalurkan maklumat kepada Kementerian ini dengan melaporkan sebarang kegiatan cetak rompak melalui hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau WhatsApp di talian 019-279 4317 atau di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil dengan lebih efektif.


** Astro AWANI kini dalam usaha membantu industri seni tanah air membanteras cetak rompak menerusi kempen #NoToLanun. Berikan pandangan anda menggunakan tanda pagar #NoToLanun & #StopPiracyLah jika anda ingin bersama-sama membantu menyelamatkan industri seni tempatan.