KUALA LUMPUR: Platform penjagaan kesihatan digital NOVV yang diasaskan oleh seorang doktor Malaysia telah merekodkan lebih 2,000 penilaian kelayakan secara dalam talian dan lebih 1,000 tempahan konsultasi sejak dilancarkan sekali gus mencerminkan sambutan awal terhadap model penjagaan kesihatan berkenaan.
Diperkenal secara rasmi di Malaysia semalam, NOVV menyediakan perkhidmatan bagi keperluan terpilih meliputi kesihatan wanita dan lelaki serta penjagaan pencegahan, dengan penilaian oleh doktor selain pemantauan klinikal sebagai teras perkhidmatannya.
Pengasas NOVV Dr Marissa Dinar berkata platform itu dibangunkan untuk memudahkan orang ramai menangani masalah kesihatan yang sering ditangguhkan, sukar dinavigasi atau kurang selesa untuk dibincangkan, di samping menggalakkan mereka memberi perhatian lebih awal terhadap kesihatan secara keseluruhan.
“Sudah terlalu lama penjagaan kesihatan dibentuk berdasarkan situasi apabila sesuatu masalah berlaku. Kami mahu NOVV memberi perhatian kepada apa yang sedang berlaku, di samping memberikan lebih banyak ruang kepada orang ramai untuk memahami dan mengambil tindakan menjaga kesihatan mereka lebih awal,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata platform itu menggabungkan akses kepada doktor dan rawatan yang bersesuaian dengan kemudahan diagnostik, teknologi serta pemantauan perubatan secara berterusan.
“Kami melihat masa depan penjagaan kesihatan sebagai sesuatu yang responsif dan proaktif, dengan menangani masalah kesihatan ketika ini sambil membantu orang ramai mengambil langkah awal untuk mendepani cabaran kesihatan pada masa akan datang,” katanya.
Pada masa ini, NOVV beroperasi melalui tiga bidang utama, iaitu NOVV For Woman, NOVV For Man dan NOVV Labs yang menawarkan perkhidmatan termasuk pengurusan berat badan secara perubatan, kesihatan hormon dan kulit wanita, masalah kesihatan terpilih bagi lelaki seperti disfungsi erektil dan penilaian testosteron, serta ujian darah bagi tujuan pencegahan dan jangka hayat yang lebih panjang.
Menerusi model platform berkenaan, pesakit terlebih dahulu perlu melengkapkan penilaian kesihatan secara dalam talian sebelum mendapatkan konsultasi daripada doktor yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
Doktor kemudian akan menentukan sama ada penjagaan kesihatan secara dalam talian bersesuaian dari sudut klinikal dan mencadangkan langkah berikutnya termasuk ujian diagnostik, rawatan atau preskripsi.
Pesakit yang memerlukan penilaian lanjut akan dirujuk untuk pemeriksaan secara bersemuka atau mendapatkan rawatan pakar, jika diperlu.
Bagi menyokong perkhidmatannya, NOVV telah menjalinkan kerjasama bagi akses diagnostik dengan BP Healthcare manakala proses penyediaan dan penghantaran ubat dibantu oleh Sunway Multicare Pharmacy.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kehadirannya di Malaysia, NOVV akan menyertai Women Wellness Festival pada 3 dan 4 Okt di Hyatt Regency sebagai Rakan Kongsi Kesihatan Digital Rasmi acara berkenaan.
Menurut kenyataan itu, platform berkenaan akan memperkenal House of NOVV di festival tersebut, iaitu pengaktifan kesihatan interaktif yang direka untuk memberikan pengalaman secara fizikal kepada pengunjung mengenai pendekatan penjagaan kesihatan yang diterajui oleh doktor.
Antara ciri yang ditawarkan ialah imbasan wajah selama 60 saat yang memberikan gambaran mengenai lebih 30 petunjuk kesihatan dan kesejahteraan termasuk fungsi kardiovaskular, pemulihan dan metabolisme serta analisis komposisi badan.
Pengunjung juga akan dibimbing oleh petugas NOVV mengenai langkah seterusnya yang sesuai.
“Dr Marissa dijadualkan berucap pada festival itu mengenai perubahan yang mungkin dialami wanita dari segi hormon, metabolisme, tidur dan berat badan apabila memasuki usia 30-an dan seterusnya manakala seorang doktor NOVV, yang dikenali sebagai Dr Zaira, akan berada di lokasi pada waktu-waktu tertentu untuk memberikan panduan ringkas bukan diagnostik kepada pengunjung terpilih berdasarkan hasil analisis komposisi badan mereka serta sama ada penilaian perubatan lanjut diperlukan,” menurut kenyataan itu.
NOVV memaklumkan bahawa pihaknya akan terus membangunkan keupayaan klinikal dan kerjasama strategiknya selaras perkembangan dalam bidang diagnostik, teknologi serta model penyampaian penjagaan kesihatan, dengan perkembangan selanjutnya diumum pada masa yang sesuai.
-- BERNAMA