KUALA LUMPUR:Ternyata hampir kesemua masyarakat di dunia termasuk di Malaysia menumpukan sepenuh perhatian terhadap pandemik COVID-19 baik pada tahun lepas mahupun pada tahun ini.

Situasi itu menyebabkan Penyakit Tropikal Terabai (NTD) yang sering dikaitkan dengan kemiskinan semakin terpinggir sedangkan 20 penyakit seperti disenaraikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu tidak pernah berhenti mencari mangsanya.

Justeru, Malaysia bersama 23 negara di seluruh dunia menyertai Hari NTD dalam mengukuhkan perpaduan untuk bersama menamatkan NTD dan membebaskan generasi akan datang daripada belenggu penyakit yang dikaitkan dengan kemiskinan ini.

“Pada tahun 2019, lebih daripada 130,000 kes denggi direkodkan, yang menunjukkan kenaikan 61 peratus berbanding tahun 2018 (Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC), KKM, 2018).

"Dianggarkan lebih daripada 1.7 bilion orang dijangkiti NTD, atau bersamaan dengan 24 peratus daripada populasi dunia.

“Dengan menyertai solidariti ini, Malaysia dapat membantu dalam meningkatkan keprihatinan kepada pahit getir dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat yang hidup dengan ancaman NTD setiap hari," menurut kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tambahnya, NTD yang tidak dirawat akan mengakibatkan kemerosotan kognitif dan ketidakupayaan, malah dalam keadaan yang lebih parah boleh menyebabkan malnutrisi serta kematian.

“Tumpuan seluruh dunia terhadap krisis COVID-19 telah mengalihkan sumber serta perhatian daripada isu penyakit kritikal global lain seperti NTD, lantas memburukkan lagi risiko kesihatan terhadap golongan rentan,” ujarnya.

Berdasarkan laporan daripada WHO, terdapat 20 penyakit yang diletakkan di bawah kategori NTD dan di Malaysia, ada dua penyakit yang lazim dikesan di negara ini.

Astro AWANI ringkaskan maklumat berkaitan NTD seperti berikut:

Apa itu NTD?Dua penyakit NTD yang lazim di Malaysia

1) Denggi
        Kes 2019 - 123,777
        Kematian: 174 (0.2 peratus)

        Kes 2020 - 88,074
        Kematian: 141 (0.1 peratus)

Pencegahan: 
1. Pencegahan pembiakan nyamuk
2. Perlindungan diri dari gigitan nyamuk
3. Pengawasan nyamuk dan virus yang aktif

2) Rabies
        Kes 2017 - 2020: 31 kes
        Kematian: 29 (93.5 peratus)

        Kes 2020 - 9 kes
        Kematian: 8 kes (88.9 peratus)

Pencegahan: 
1. Menghilangkan virus rabies pada anjing.
2. Kesedaran mengenai rabies dan mencegah gigitan anjing.
3. Imunisasi bagi kumpulan berisiko tinggi.

Walaupun Malaysia merupakan negara berpendapatan sederhana tinggi, negara masih tidak bebas dari NTD.

30 Januari adalah Hari NTD Sedunia, kali kedua dianjurkan dan tahun ini, Malaysia akan sama-sama meraikannya.