Usaha mempertingkat Pembangunan Luar Bandar di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) telah memberi kesan terhadap kehidupan lebih 5.567 juta rakyat Malaysia yang tinggal di luar bandar.

Menurut Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2015, taraf hidup penduduk luar bandar menjadi bertambah baik melalui penyampaian kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan jaringan perhubungan jalan raya.

Dari 2010 hingga 2015, kampung-kampung di luar bandar mengalami pertumbuhan lestari yang hebat dengan seramai 2.71 juta rakyat Malaysia kini mempunyai akses kepada jalan raya baharu dan dinaik taraf sepanjang 5,286.25 kilometer (km).

"Beberapa pencapaian penting pada 2015 termasuk di Batang Padang, Perak, di mana pembinaan jalan raya sepanjang 11 km telah membantu meningkatkan ekonomi kampung di sekitar kawasan itu yang dihubungkan oleh jalan raya itu, sekali gus menyumbang kepada peningkatan nilai harta tanah di kampung berkenaan,” kata laporan itu.

Laporan itu, yang dikeluarkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di Jabatan Perdana Menteri, dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Angkasapuri di sini, malam tadi.

Menurut laporan itu, kira-kira 1.7 juta lagi rakyat Malaysia kini menikmati bekalan air bersih, yang meliputi 345,665 isi rumah di seluruh Malaysia Barat dan Malaysia Timur.

Dalam tempoh sama, sebanyak 143,899 isi rumah lagi mendapat bekalan elektrik 24 jam, manakala 82,472 isi rumah mendapat bantuan di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) bagi keluarga yang kurang berkemampuan.

Sementara itu, satu daripada inisiatif di bawah program Kampung Abad Ke-21 (KA- 21), Projek Pengenalan Lang Buah-buahan/Sayur-sayuran Berskala Besar menawarkan peluang pekerjaan kepada banyak penduduk luar bandar.

"Ladang seluas lebih 200 ekar ditanam dengan pelbagai buah-buahan premium kualiti eksport. Bertan-tan nanas, pisang, betik dan tembikai dipasarkan di dalam dn luar negara hingga ke Korea dan Jepun," kata laporan itu.

Di bawah pelaksanaan Desa Lestari, dua projek ikon telah dilaksanakan iaitu pemeliharaan lebih tanpa sengat dan pembinaan chalet kabin diperkenalkan bagi memajukan lagi program inap desa.

Sebanyak 28 kampung yang menceburi projek pemeliharaan lebah tanpa sengat memperoleh pendapatan tahunan antara RM10,000 dan RM19,000, manakala mereka yang menyertai program chalet kabin menjana pendapatan antara RM18,000 dan RM54,000 setahun.

Sambil menetapkan sasaran lebih tinggi bagi inisiatif sedia ada, laporan itu yakin hasil projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), Kandungan Komunikasi dan Infrastruktur (CCI) perlu turut dibawa ke kawasan luar bandar.

Jangkauan dan kualiti jalur lebar yang lebih baik (melalui Jalur Lebar Kelajuan Tinggi 2 dan Projek Jalur Lebar Sub-bandar) akan memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia di luar bandar untuk meningkatkan output ekonomi dan pemilihan peluang perniagaan.