Skip to main content

Malaysia

NUBE gesa kerajaan bantu selesai tuntutan pekerja bank yang tertangguh

Hampir 1,000 ahli NUBE daripada pelbagai bank di seluruh negara menyertai himpunan 'Demonstrasi Mega NUBE' yang bermula sekitar jam 10 pagi itu. -Gambar Astro AWANI/Seth Akmal
Hampir 1,000 ahli NUBE daripada pelbagai bank di seluruh negara menyertai himpunan 'Demonstrasi Mega NUBE' yang bermula sekitar jam 10 pagi itu. -Gambar Astro AWANI/Seth Akmal

Advertisement

Ringkasan AI

  • NUBE memberi tempoh tiga minggu kepada Perdana Menteri untuk campur tangan dalam pertikaian perusahaan yang berlarutan hampir tiga tahun.
  • Antara tuntutan utama ialah bantuan perayaan bersamaan sebulan gaji dan penyelarasan gaji yang masih belum dimuktamadkan oleh 17 bank.
  • Hampir 1,000 ahli NUBE berhimpun secara aman dan memorandum telah diserahkan mewakili 15,000 pekerja bank kumpulan B40 dan M40.

PUTRAJAYA: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) memberi tempoh tiga minggu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk campur tangan bagi membantu menyelesaikan pertikaian perusahaan yang didakwa berlarutan hampir tiga tahun.

Naib Presidennya, Mohd Faisal Husin berkata NUBE mahu pihak berkaitan dipanggil berunding bersama kesatuan bagi mencari penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan pekerja.

Antara tuntutan yang dikemukakan ialah bantuan perayaan bersamaan sebulan gaji serta penyelarasan gaji yang menurut NUBE masih belum dimuktamadkan.

“Sekiranya keadaan ini berterusan, kami akan berterusan untuk melakukan perkara yang sama,” katanya ketika ditemui pemberita pada Demonstrasi Mega NUBE di hadapan Pejabat Perdana Menteri, di sini, pada Sabtu.

Image
Seth Akmal/Astro AWANI
Ahli NUBE menuntut campur tangan Perdana Menteri bagi menyelesaikan pertikaian perusahaan melibatkan isu penyelarasan gaji dan bantuan perayaan.

Hampir 1,000 ahli NUBE daripada pelbagai bank di seluruh negara menyertai himpunan yang bermula sekitar jam 10 pagi itu.

Sebelum ini, menerusi akaun media sosialnya, NUBE berkata lebih 2,100 ahlinya telah menghantar e-mel kepada Perdana Menteri berhubung tuntutan bantuan perayaan berkenaan.

Kesatuan itu turut mendakwa bantuan bersamaan sebulan gaji bagi 2024 hingga 2026 masih belum dibayar oleh 17 bank, termasuk bank berkaitan kerajaan.

Dalam perkembangan sama, Mohd Faisal mendakwa hampir 300 ahli NUBE daripada empat bank digantung tugas susulan penglibatan dalam aktiviti kesatuan, termasuk pemakaian lencana tertera tulisan "Bank Tipu Kita".

Menurutnya, pekerja terbabit masih menerima gaji penuh sepanjang tempoh penggantungan, namun tindakan itu berkuat kuasa sehingga notis selanjutnya.

“Gantung dengan gaji yang penuh tapi penggantungan itu 'until further notice', mungkin akan pergi ke peringkat yang lebih tinggi.

“Ini adalah satu bentuk ugutan. Ugutan untuk menakut-nakutkan supaya rakyat ada hak untuk bersuara tetapi diugut dengan cara yang salah,” katanya.

Image
Seth Akmal/Astro AWANI
Mohd Faisal turut menyatakan kebimbangan terhadap nasib pekerja yang diambil tindakan kerana memakai lencana 'Bank Tipu Kita'.

NUBE turut memaklumkan sebuah memorandum turut diserahkan kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri, Aznur Hafeez kaswuri.

Menerusi memorandum itu, NUBE berkata ia mewakili kira-kira 15,000 pekerja bank daripada kumpulan B40 dan M40 yang memohon campur tangan Perdana Menteri berhubung hak serta kebajikan mereka.

Kesatuan itu turut menyenaraikan 14 perkara yang didakwanya sebagai isu penganiayaan dan amalan buruh paksa dalam industri perbankan untuk diberi perhatian.

NUBE dalam memorandum sama menyatakan penyelesaian melalui perbincangan masih menjadi keutamaan, namun akan terus mempertahankan hak dan kepentingan ahlinya melalui saluran yang sah.

Himpunan aman itu berakhir sekitar jam 12 tengah hari dengan pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Perbadanan Putrajaya.

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI

  • Q: Apakah tuntutan utama yang dikemukakan oleh NUBE dalam pertikaian ini? 
    A: NUBE menuntut bantuan perayaan bersamaan sebulan gaji serta penyelarasan gaji yang masih belum dimuktamadkan.
  • Q: Berapa ramai ahli NUBE yang menyertai himpunan di hadapan Pejabat Perdana Menteri? 
    A: Hampir 1,000 ahli NUBE daripada pelbagai bank di seluruh negara menyertai himpunan tersebut.
  • Q: Apakah tindakan yang diambil terhadap ahli NUBE yang terlibat dalam aktiviti kesatuan? 
    A: Hampir 300 ahli NUBE daripada empat bank digantung tugas susulan penglibatan dalam aktiviti kesatuan, termasuk pemakaian lencana "Bank Tipu Kita".
  • Q: Siapakah yang menerima memorandum daripada NUBE dan berapa ramai pekerja yang diwakili? 
    A: Memorandum diserahkan kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri, Aznur Hafeez Kaswuri, mewakili kira-kira 15,000 pekerja bank daripada kumpulan B40 dan M40.
  • Q: Apakah langkah seterusnya yang akan diambil oleh NUBE sekiranya isu ini tidak diselesaikan? 
    A: NUBE akan terus mempertahankan hak dan kepentingan ahlinya melalui saluran yang sah serta meneruskan tindakan yang sama sekiranya keadaan berlarutan.

Must Watch Video

Advertisement