KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menggesa kerajaan mempercepatkan suntikan vaksin kepada pekerja-pekerja sektor perbankan kerana mereka merupakan kumpulan barisan hadapan negara.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, pihaknya terkilan kerana sehingga kini, pekerja-pekerja perkhidmatan perbankan belum disenaraikan sebagai kumpulan sasaran barisan hadapan dalam mendapatkan suntikan vaksin meskipun beberapa surat permohonan telah dikemukakan sejak Mac lalu.

"Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia (MCBA) telah menulis surat kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada pertengahan bulan Mac lalu.

"Pihak persatuan telah dimaklum akan persetujuan MOSTI untuk memberi pertimbangan kepada permintaan agar pekerja-pekerja perbankan turut diberi keutamaan.

"Susulan permohonan MCBA kepada MOSTI, NUBE telah menulis surat kepada MOSTI pada bulan Mei dan dimaklumkan bahawa permintaan NUBE telah dipanjangkan kepada Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas J Solomon lagi, pada 2 Jun lepas, NUBE telah memaklumkan kepada MITI bahawa sektor perbankan membekalkan senarai nama pekerja yang terlibat sebagaimana diminta, tetapi sehingga ke hari ini tidak ada maklum balas.

Tambahnya, mereka menghargai inisiatif yang sedang diambil kerajaan dalam mengendalikan program vaksinasi dan mencapai sasaran kelompok imuniti.

"Malangnya permintaan kami dalam perkara, yang sudah berbulan-bulan lamanya belum mendapat hasil yang positif, kami agar kecewa dengan ketiadaan tindakan proaktif ke atas kesemua permintaan setakat ini.

"Sekali lagi, NUBE ingin menegaskan bahawa kami bersedia untuk memberi kerjasama dan sokongan ke atas program vaksinasi yang telah dimulakan, tetapi usaha kami dalam mendapatkan pengesahan daripada agensi-agensi kerajaan yang terbabit kelihatan terlalu perlahan.

"Tindakan seperti ini memudaratkan kesihatan dan keselamatan bukan sahaja pekerja-pekerja tetapi juga keluarga mereka yang menjadi barisan hadapan (frontliners) sektor perbankan yang telah dikategorikan sebagai perkhidmatan penting atau essential services dan sedia berkhidmat untuk orang ramai tetapi juga keluarga mereka," jelasnya.

Tambahnya, NUBE juga mengesa kerajaan menyegerakan permintaan dan mengutamakan pekerja-pekerja sektor perbankan dalam senarai memperoleh suntikan peringkat awal.

"NUBE bersedia untuk membantu memobilisasikan pekerja-pekerja bank, termasuk ahli-ahli kami untuk menjayakan sasaran yang ditetapkan.

"Oleh itu, janji untuk mengutamakan barisan hadapan di sektor perbankan, yang merupakan salah satu sektor utama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sekarang, mestilah dipenuhi dengan segera," katanya.