KUALA LUMPUR: Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) serta Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) telah mengiktiraf pencapaian utama Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dalam pembiakan mutasi tumbuhan dan bidang bioteknologi berkaitan dalam usaha meningkatkan sekuriti makanan melalui penggunaan radiasi bagi mempelbagai jenis benih yang lebih berkualiti.

Nuklear Malaysia dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa agensi itu telah dinamakan sebagai antara penerima Anugerah Pencapaian Cemerlang dalam Pembiakan Mutasi Tumbuhan semasa Persidangan Agung ke-65 IAEA yang berlangsung di Vienna, Austria pada Isnin.

"Ketua Pengarah Nuklear Malaysia Dr Siti A'iasah Hashim menerima anugerah itu daripada Ketua Pengarah IAEA Rafael Mariano Grossi," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut majlis penganugerahan itu mengiktiraf sumbangan kepada pembiakan mutasi tumbuhan 28 penyelidik dan pasukan masing-masing daripada institusi 20 negara anggota dalam tiga kategori iaitu Anugerah Pencapaian Cemerlang, Anugerah Wanita dalam Pembiakan Mutasi Tumbuhan dan Anugerah Saintis Muda.

Menurut kenyataan itu, Siti A'iasah dalam ucapannya selepas penyampaian anugerah tersebut menzahirkan penghargaan kepada FAO dan IAEA kerana mengiktiraf usaha Nuklear Malaysia dalam menerapkan pembiakan mutasi radiasi untuk meningkatkan tahap kemandirian negara serta sekuriti makanan.

Beliau berkata benih baharu padi Malaysia iaitu NMR 152 telah meningkatkan pendapatan petani kecil sekurang-kurangnya 40 peratus dan ada juga sebanyak 100 peratus.

Kenyataan itu turut memaklumkan pada 2020, pasukan penyelidik yang sama telah menerima Anugerah Penyelidik Cemerlang (Projek Pembiakan Mutasi) semasa Mesyuarat Forum Kerjasama Nuklear Asia ke-21 Peringkat Menteri.

-- BERNAMA