Skip to main content

Malaysia

NUTP perlu perkasa kompetensi guru dalam AI, digital dan inovasi

61593688007_DigitalEconomy.jpg
Perkembangan teknologi digital, AI dan perubahan landskap ekonomi global menuntut sistem pendidikan sentiasa bersedia menghadapi perubahan. - Gambar hiasan
Advertisement

KOTA BHARU: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) perlu terus memperkukuh usaha meningkatkan kompetensi guru khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), digital dan inovasi bagi mendepani cabaran pendidikan yang semakin kompleks.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim berkata, usaha berkenaan penting selaras dengan Agenda Reformasi Awam yang memberi penekanan terhadap pemerkasaan kompetensi penjawat awam termasuk warga pendidik.

Beliau berkata, perkembangan teknologi digital, AI dan perubahan landskap ekonomi global menuntut sistem pendidikan sentiasa bersedia menghadapi perubahan.

“Keadaan ini memaksa setiap guru untuk bersiap siaga mendepani perubahan dan menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu dalam pengajaran dan pembelajaran,” katanya ketika berucap pada perasmian Persidangan Perwakilan Tritahunan NUTP ke-24, di sini, malam tadi.

Mohd Shaiful berkata, dalam konteks sektor pendidikan, setiap guru perlu diberikan ruang dan peluang untuk memperkasakan kompetensi mereka, terutama berkaitan AI, digital dan inovasi supaya keperluan pendidikan yang semakin mencabar dapat dipenuhi.

Beliau berkata, aspek kebajikan dan kesejahteraan warga pendidik juga tidak boleh dilupakan dalam usaha meningkatkan kompetensi, prestasi dan kecemerlangan guru.

Mohd Shaiful berkata, beliau yakin sinergi antara NUTP, JPA dan Kementerian Pendidikan dapat memastikan kompetensi guru terus diperkasakan, selain kebajikan serta kesejahteraan warga pendidik dipelihara demi menyokong kemajuan pendidikan negara.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement