PUTRAJAYA: Syarikat teknologi multinasional, NVIDIA Corporation bersetuju membantu membangunkan ekosistem kecerdasan buatan (AI) di Malaysia menerusi sokongan dalam pembinaan pusat kecemerlangan.

Syarikat itu akan mengadakan perkongsian strategik dengan konglomerat Malaysia, YTL yang membina pusat data AI melibatkan pelaburan berjumlah RM20 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perkongsian di Facebooknya berkata, YTL telah memulakan pelaburan dalam superkomputer berkuasa H100 terbaru bagi membina sistem Awan AI berpangkalan di Malaysia.

Menurutnya, beliau mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Jensen Huang dan Pengarah Urusan YTL, Datuk Yeoh Seok Hong di Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat.


Dalam pertemuan itu, PM Anwar berkata Malaysia berpotensi menjadi 20 negara teratas terkait AI dan beliau menekankan Malaysia memerlukan infrastruktur AI bertaraf dunia bagi memupuk bakat tempatan dan membangunkan inovasi diterajui teknologi itu.

Tambah beliau, NVIDIA melihat Malaysia mempunyai sumber dan kemampuan dalam menyediakan keperluan dan syarat sebagai sebuah hab AI.

“Keputusan NVIDIA untuk melabur di Malaysia adalah satu isyarat yang jelas bahawa pelabur asing, terutamanya syarikat gergasi teknologi dunia terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ini.

“Sebelum bergerak pulang, Jensen sempat berseloroh dengan saya bahawa hari ini beliau akhirnya dapat berjumpa dengan ‘Perdana Menteri AI’,” katanya.