National Task Force (NTF) menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) berjaya melakukan 14 tangkapan melibatkan 30 pendatang asing tanpa izin dan empat penyeludup.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi itu turut merampas 12 kenderaan darat.

Katanya, sebanyak 79 sekatan jalan raya (SJR) Op Benteng dilaksanakan semalam (Ahad) melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," tegasnya menerusi kenyataan di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 9,842 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 66 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Sejak 24 Julai sehingga 6 September 2020, seramai 24,781 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 67 hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA), serta Institusi Pengajian Swasta di seluruh negara," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan serta mudah diperolehi.