KUALA LUMPUR: Seramai 39 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Operasi Benteng yang dijalankan semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu pihak penguat kuasa turut merampas sebuah bot serta dua kenderaan darat,

"Dalam operasi yang sama, sebanyak 118 buah kapal dikesan di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Ismail Sabri berkata, seramai 12,763 warga asing menjalani ujian saringan COVID-19 semalam dan daripada jumlah itu 27 individu disahkan positif COVID-19.

Secara kumulatifnya, kata beliau, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 412,925 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 19,721 majikan di seluruh negara.

"Daripada jumlah ini, seramai 7,580 orang telah disahkan positif COVID-19 manakala 405,345 lagi adalah negatif," jelasnya.

Beliau memaklumkan, ujian saringan itu melibatkan 1,449 buah klinik.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan ujian saringan COVID-19 adalah diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari lalu.