KULAI: Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar sebuah Perodua Myvi selepas dua suspek masing-masing berusia 23 tahun bertindak merempuh anggota polis dalam kejadian di Jalan Kenari, Bandar Putra, Kulai, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee berkata kejadian berlaku kira-kira 1.20 pagi ketika anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai sedang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata anggota URB menahan sebuah Perodua Myvi berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki serta wanita warga tempatan di dalam kenderaan itu.
"Semasa pemeriksaan dijalankan, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri dengan melanggar motosikal URB serta sebuah kenderaan awam jenis Mazda CX-5, selain cuba melanggar anggota polis.
"Susulan itu, anggota URB melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek bagi mempertahankan diri dan memberhentikan kenderaan tersebut. Bagaimanapun, suspek berjaya melarikan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tan berkata susulan kejadian itu seorang anggota URB mengalami kecederaan ringan pada bahagian kaki selepas tersepit akibat motosikal dilanggar suspek.
Beliau berkata pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian turut menemukan serpihan anak peluru dan serpihan kelongsong peluru.
Katanya, dalam tempoh kurang 24 jam, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai berjaya menahan pasangan lelaki dan wanita berkenaan di lokasi berasingan sekitar Bandar Putra, Kulai dan Kluang, antara 11.30 pagi hingga 8.30 malam tadi.
Beliau berkata turut dirampas satu alat kawalan jauh dan sebuah Perodua Myvi berwarna hitam yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
Tan berkata ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati negatif, manakala semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau.
"Motif kejadian masih dalam siasatan," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 332 kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada penjawat awam dan Seksyen 186 kanun sama kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini bagi permohonan reman.
-- BERNAMA