ISTANBUL: Real Madrid menewaskan Rayo Vallecano 4-1 di laman sendiri dalam saingan La Liga pada Sabtu selepas mendahului tiga gol pada separuh masa pertama sebelum pelawat mempamerkan aksi lebih mantap pada babak kedua, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Rayo memperoleh peluang pertama pada minit kesembilan apabila percubaan rendah Giorgi Tsitaishvili diselamatkan Thibaut Courtois. Madrid kemudian mula menguasai permainan.
Tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-13 selepas Florian Lejeune menjatuhkan Alvaro Carreras di dalam kotak penalti.
Kylian Mbappe menyempurnakan sepakan penalti seminit kemudian untuk meletakkan Madrid di depan.
Madrid menggandakan kelebihan pada minit ke-17 selepas Vinicius Jr memintas percubaan hantaran ke belakang Lejeune sebelum Mbappe membantu Carreras menjadikan kedudukan 2-0.
Madrid hampir memperoleh gol ketiga menerusi Vinicius Junior dan Mbappe sebelum Rayo membalas menerusi Sergio Camello, namun percubaannya memaksa Courtois melakukan aksi menyelamat sambil menerpa.
Jude Bellingham menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-35 selepas menyudahkan hantaran tarik Vinicius Junior ketika tidak dikawal di dalam kotak penalti.
Mbappe hampir menambah jaringan sebelum rehat apabila rembatan kencangnya terkena tiang. Di satu lagi hujung padang, Courtois melakukan aksi menyelamat cemerlang daripada percubaan jarak jauh ketika Madrid menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan tiga gol.
Rayo kembali pada babak kedua dengan aksi lebih bertenaga dan terus mengancam apabila percubaan jarak jauh mereka terkena tiang pada minit ke-47.
Usaha pelawat membuahkan hasil empat minit kemudian apabila Camello memanfaatkan kesilapan Madrid sebelum menewaskan Courtois untuk merapatkan kedudukan kepada 3-1.
Rayo terus memberikan tekanan dengan Tsitaishvili memaksa Courtois melakukan satu lagi aksi menyelamat sebelum tandukannya dari kedudukan baik pada minit ke-64 melepasi palang.
Madrid secara beransur-ansur kembali menguasai permainan dengan Audero menafikan percubaan Denzel Dumfries dan pemain gantian Arda Guler.
Mbappe akhirnya menjaringkan gol keduanya pada masa kecederaan babak kedua menerusi rembatan kencang kaki kanan secara menyilang ke penjuru bawah gawang selepas menerima hantaran Guler.
Kemenangan 4-1 itu menyaksikan Real Madrid mengumpul 12 mata daripada lima perlawanan, manakala Rayo kekal dengan empat mata.
-- BERNAMA-ANADOLU