RIYADH: Ketegangan di Semenanjung Arab terus memuncak apabila Arab Saudi dan kumpulan Houthi di Yaman dilaporkan saling melancarkan serangan di sekitar Selat Bab al-Mandab, salah satu laluan perkapalan paling penting di dunia.
Menurut sumber keselamatan, pertempuran sengit tercetus selepas kumpulan Houthi memperluaskan penguasaan mereka di sepanjang pesisir Laut Merah, termasuk kawasan strategik berhampiran selat yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden.
Pasukan kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi dilaporkan melancarkan serangan ke atas kedudukan Houthi di bandar pesisir Mokha, dengan mendakwa beberapa kenderaan dan kelengkapan ketenteraan milik kumpulan itu berjaya dimusnahkan.
Houthi sebelum ini mendakwa mereka menguasai sebahagian besar kawasan sekitar Bab al-Mandab dan memberi amaran bahawa kapal yang mempunyai kaitan dengan Arab Saudi berdepan risiko keselamatan jika melalui kawasan berkenaan.
Konflik yang semakin meruncing itu berlaku ketika laluan tenaga dan perdagangan utama dunia menghadapi tekanan berikutan ketegangan berterusan di Asia Barat, termasuk di Selat Hormuz.
Penganalisis berkata sebarang gangguan terhadap pelayaran di Bab al-Mandab boleh memberi kesan besar kepada perdagangan global kerana laluan itu menjadi pintu masuk utama ke Laut Merah dan Terusan Suez.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan puluhan ribu penduduk Yaman telah kehilangan tempat tinggal sejak beberapa minggu lalu akibat pertempuran yang semakin meluas.
Arab Saudi setakat ini belum mengumumkan sebarang operasi ketenteraan berskala besar, namun menegaskan akan mengambil langkah yang perlu bagi melindungi keselamatan negara serta kepentingan strategiknya di rantau itu.
Perkembangan terbaharu itu turut meningkatkan kebimbangan terhadap bekalan tenaga global, dengan harga minyak mentah kekal tinggi susulan risiko gangguan di dua laluan perkapalan utama dunia, iaitu Bab al-Mandab dan Selat Hormuz.