GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua pengarah syarikat yang didakwa membuat tuntutan palsu bernilai lebih RM400,000 dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 18 Mei dikeluarkan Majistret Mohamad Azlan  Basri di Mahkamah Majistret George Town pada Selasa.

Menurut sumber, kedua-dua suspek berusia 62 dan 35 tahun sebelum itu ditahan SPRM semasa Op Hire 2.0 yang sedang dijalankan di seluruh negara sejak semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Op Hire 2.0 adalah operasi bagi mengekang penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan hasil tuntutan palsu yang dibuat oleh pengarah-pengarah syarikat menerusi program insentif pengambilan pekerja dan program latihan (Penjana).

Jumlah tuntutan yang terlibat adalah antara RM450,000 hingga RM2 juta.

Op Hire 2.0 ini adalah lanjutan daripada Op Hire 1.0 yang dilaksanakan pada 2022 yang lalu di seluruh negara dengan kerjasama Perkeso dan SPRM.