GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menumpaskan 12 kes berprofil tinggi daripada 42 tangkapan menerusi Op Khas Pagar Laut 2023 yang  dijalankan di kawasan perairan seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rampasan bernilai RM13 juta berjaya dirampas hasil pelaksanaan operasi berkenaan yang bermula 9 hingga 25 April lalu.

Saifuddin berkata, 12 kes berprofil tinggi itu melibatkan tiga kes tangkapan menyeludup masuk rokok, dua kes kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta masing-masing satu kes mencuri dan rompakan berkumpulan.

Selain itu, katanya, Maritim Negeri Johor juga berjaya menumpaskan kes rompakan bersenjatakan parang melibatkan empat warga tempatan di Pelantar Aurora Producer 1 di Tanjung Langsat, Johor pada 24 April lalu dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan.

"Ini buat pertama kalinya pertama kali melibatkan rakyat tempatan selalunya kes macam ini melibatkan warga asing, tapi yang sekarang ini rakyat tempatan pun terlibat dalam kes kecurian kabel dan mereka bersenjata.

"Sebab itu kita masukkan itu dalam kes Kanun Keseksaan  yang merupakan rompakan bersenjata, corak jenayah macam ini melibatkan warga asing tapi untuk Op Pagar Laut kali ini yang dikesan di Tanjung Langsat itu melibatkan warga tempatan," katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin  berkata, operasi bermula 9 hingga 30 April itu membabitkan 800 pegawai dan anggota serta 45 aset yang diletakkan dalam keadaan siap siaga selama 24 jam termasuk melibatkan aset udara Maritim Malaysia dan pengesanan menggunakan radar meliputi kawasan di Lumut, Perak hingga Kota Kinabalu, Sabah.

Katanya  kejayaan Op Pagar Laut tersebut merupakan usaha berterusan Maritim Malaysia memperketatkan lagi kawalan serta mengoptimumkan pengoperasian di kawasan maritim negara terutamanya di sempadan Malaysia, Thailand serta Indonesia.

"Saya anggap sebagai Ops Pagar Laut ini sebagai berjaya dan Ops Pagar Laut ini juga memberikan satu penegasan tentang komitmen tinggi APMM sebagai agensi barisan hadapan yang mengawal kawasan perairan maritim negara. Kita tahu end to end kalau sempadan darat kita ni panjangnya 3,000 kilometer jarak sejauh 592,000 kilometer persegi. Jadi itu kawasan yang sangat luas untuk kita jaga," katanya lagi.

Beliau berkata, meskipun Op Khas Pagar Laut bakal tamat pada tengah malam Ahad ini Maritim Malaysia akan meneruskan tugas hakiki mereka dalam kawalan dan rondaan di perairan seluruh negara dengan beberapa operasi lain akan dijalankan sepanjang masa.

Saifuddin berkata demikian pada sesi Lawatan Kerja dan Penyampaian Bingkisan Raya kepada pegawai dan anggota di Kapal Maritim Burau di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) yang memangku tugas Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Hamid Mohd Amin, Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kapten Abd Razak Mohamed.