KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu menerusi Op Pantau, telah memeriksa 1,806 premis di seluruh Terengganu, bermula 12 Mac.

Pengarahnya Saharuddin Mohd Kia berkata daripada jumlah tersebut, sembilan kes telah diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Cap Dagangan 2019.

"Seramai 118 anggota penguat kuasa KPDN Terengganu dan 58 pegawai pemantau harga, telah menjalankan pemantauan serta pemeriksaan di 1,806 premis termasuk bazar ramadan, pasar raya, pasar awam dan kedai runcit di seluruh negeri dari 12 Mac hingga 4 April.

"Hanya sembilan kes diambil tindakan. Ia menunjukkan kepatuhan peniaga terhadap peraturan yang ditetapkan kerajaan," katanya pada majlis pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Pasaraya Sabasun, di sini hari ini.

Sebanyak 20 barangan termasuk bawang kuning besar, bawang merah besar, ikan selayang, cili kering kerinting dan ikan aya yang khusus untuk negeri Pantai Timur disenaraikan dalam SHMMP Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Saharuddin berkata Op Kesan yang bertujuan memantau kesan pelaksanaan kenaikan SST daripada enam kepada lapan peratus, masih diteruskan hingga ke hari ini.

Justeru, beliau mengingatkan peniaga supaya terus mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan tegas.

-- BERNAMA