Op Selamat 7 mencatatkan angka kematian yang terburuk dalam sejarah sejak operasi bersepadu itu dimulakan pada tahun 1994.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Mohd Fuad Abd Latiff berkata sebanyak 330 kematian dicatatkan dalam tempoh 15 hari operasi tersebut dari 10 Julai hingga 24 Julai lalu.

"Jumlah kematian meningkat daripada 237 kes (Op Selamat 5) kepada 330 kematian iaitu kenaikan 93 kematian (39.2 peratus)," katanya semasa sidang media analisis Op Selamat 7/2015 di Bukit Aman pada Jumaat.

Jelas beliau, faktor sikap pengguna jalan raya menjadi penyumbang utama kemalangan maut.

"Jumlah kemalangan Op Selamat 7 meningkat kepada 20,458 kes berbanding Op Selamat 5 yang berjumlah 18,484 kes, iaitu merekodkan kenaikan 1,974 kes jumlah kemalangan (10.7 peratus).

"Jumlah kemalangan maut pada Op Selamat 7 turut meningkat kepada 303 kes berbanding Op Selamat 5 yang berjumlah 217 kes, iaitu kenaikan sebanyak 86 kes (39.6 peratus)," ujar beliau.

Penunggang motosikal dikenal pasti menjadi penyumbang utama kes kemalangan maut sepanjang tempoh operasi bersepadu itu.

"Daripada 330 kematian, didapati kematian penunggang motosikal berjumlah 183, pembonceng motosikal 17, pemandu motokar 42, penumpang motokar 43, pemandu van tiga, penumpang van lima, pemandu lori lima, penumpang lori satu, penunggang basikal satu, pejalan kaki 21, pemandu jip dua, penumpang jip tiga, pemandu lain-lain kenderaan satu, dan penumpang lain-lain kenderaan tiga," jelas beliau.


Tambahnya, 21.3 peratus daripada penunggang motosikal yang maut tidak mempunyai lesen memandu.

"Daripada 183 penunggang motosikal yang maut, 39 daripadanya tidak mempunyai lesen motosikal (21.3 peratus), 25 penunggang tidak memakai topi keledar (13.7 peratus) dan 10 penunggang mempunyai rekod pernah terlibat dalam kemalangan (5.5 peratus)."

Dalam pada itu, Mohd Fuad menegaskan Op Selamat masih kekal relevan.

Bagaimanapun, katanya kajian dan penelitian secara mendalam akan dilakukan ke atas keberkesanan operasi bersepadu berkenaan.

"Op Selamat masih relevan. Namun kami PDRM memerlukan lebih ramai kakitangan di cawangan trafik seperti 6,000 orang di peringkat penguatkuasaan.

"Persoalan penguatkuasa di jalan atau pengguna trafik tidak takut dengan jumlah penalti kerana mereka mampu membayarnya, itu kita akan lihat semula. Sistem Kejara juga sepatutnya dilihat semula," tambahnya lagi.

Justeru katanya, PDRM akan meningkatkan kerjasama dengan agensi terlibat dalam usaha menambah baik kempen jalan raya yang dilakukan setiap kali musim perayaan.