MALAYSIA
Op Sohor: TMJ antara yang bantu SPRM bongkar kebocoran maklumat - Azam Baki

Azam berkata SPRM akan terus bekerjasama dengan pihak Istana bagi membanteras kegiatan yang menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara. - Gambar fail/Bernama
CYBERJAYA: Operasi besar-besaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikenali sebagai Op Sohor berjaya membongkar kegiatan kebocoran maklumat ketenteraan adalah hasil kerjasama erat bersama Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ).
Ringkasan AI
- Op Sohor oleh SPRM berjaya membongkar kebocoran maklumat ketenteraan, hasil kerjasama dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), yang membawa kepada penahanan lima pegawai kanan ATM.
- Pegawai terbabit disyaki menyalurkan maklumat operasi kepada penyeludup sebagai pertukaran dengan rasuah, membolehkan kartel jenayah beroperasi bebas di sempadan.
- SPRM akan terus bekerjasama dengan pihak istana dan agensi keselamatan, dan menegaskan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang mengkhianati amanah keselamatan negara.
“Banyak maklumat yang kami peroleh hasil jaringan dengan Tunku Ismail. Baginda amat prihatin dan komited mahu kegiatan ini dibanteras.
"Siasatan setakat ini masih tertumpu di kawasan selatan negara dan SPRM akan terus bekerjasama dengan pihak Istana bagi membanteras kegiatan yang menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Konvensyen Mahasiswa Antirasuah (KOMAWAR) 2025 anjuran Universiti Multimedia (MMU) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Cyberjaya pada Sabtu.
Tambah Azam, siasatan mendapati maklumat risikan operasi keselamatan yang sepatutnya digunakan untuk menguatkuasakan undang-undang telah diseleweng, sebelum disalurkan kepada penyeludup sebagai pertukaran dengan bayaran rasuah.
Tindakan itu bukan sahaja menjejaskan keselamatan negara, malah membuka ruang kepada kartel penyeludupan beroperasi secara bebas di kawasan sempadan.
"Pegawai yang diberi amanah menjaga keselamatan negara tidak boleh mengkhianati sumpah mereka. Jika benar terlibat, tindakan tegas menanti,” tegasnya lagi.
Op Sohor dilancarkan hasil siasatan SPRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi keselamatan lain selepas wujud dakwaan kebocoran maklumat operasi ketenteraan kepada pihak luar sejak beberapa tahun lalu.
Sebelum ini, SPRM turut menahan beberapa individu termasuk dua wartawan yang juga bekas anggota tentera dan pekerja syarikat swasta yang dipercayai bertindak sebagai enablers kartel penyeludupan dengan menerima sogokan sebagai balasan kepada maklumat rahsia yang dibocorkan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami