NATIONAL
Operasi Menara KL tidak terganggu - Hydroshoppe

Hydroshoppe Sdn Bhd menegaskan, operasi Menara Kuala Lumpur akan berjalan seperti biasa pada Syawal kedua, meskipun wujud cubaan pengambilalihan oleh pihak ketiga yang kini tertakluk kepada keputusan mahkamah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Hydroshoppe Sdn Bhd menegaskan, operasi Menara Kuala Lumpur (Menara KL) akan berjalan seperti biasa pada Syawal kedua, meskipun wujud cubaan pengambilalihan oleh pihak ketiga yang kini tertakluk kepada keputusan mahkamah.
Menurut syarikat itu, tindakan yang diambil oleh Lim Seong Hai Capital Berhad (LSH Capital) melalui anak syarikatnya, LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM) adalah tidak sah dan bercanggah dengan proses perundangan yang sedang berjalan.
Hydroshoppe memberi amaran sebarang cubaan mengambil alih tanpa keputusan rasmi mahkamah boleh mendatangkan kesan buruk terhadap operasi mercu tanda berkenaan.
“Dalam musim perayaan ini, Menara Kuala Lumpur menjadi destinasi utama bagi pelancong tempatan dan antarabangsa yang ingin menikmati keindahan bandar raya Kuala Lumpur.“Sebarang tindakan yang boleh mengganggu operasi boleh memberi kesan negatif kepada pengalaman pelancong serta mencemarkan keharmonian perayaan,” kata Pengarah Urusan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Datuk Abdul Hamid Shaikh dalam kenyataan, pada Isnin.
Beliau juga mengingatkan semua pihak perlu menghormati proses undang-undang dan menunggu keputusan muktamad sebelum sebarang pengambilalihan dilaksanakan.
“Kami menyeru agar semua pihak mematuhi proses perundangan dan mengelakkan tindakan terburu-buru yang boleh mencetuskan ketegangan.
“Sebarang pengambilalihan hanya boleh dilakukan selepas keputusan muktamad oleh mahkamah,” tambahnya.
Baru-baru ini media melaporkan, Hydroshoppe menyaman kerajaan bagi menuntut ganti rugi RM1 billion berhubung penamatan perjanjian pengendalian Menara KL.
Hydroshoppe sebagai plaintif pertama dan anak syarikatnya MKLSB plaintif kedua turut menyaman empat pihak lain termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Turut dinamakan sebagai defendan, LSH Service Master Sdn. Bhd., LSH Best Builders Sdn. Bhd. dan
Service Master (M) Sdn. Bhd.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami