Skip to main content

Malaysia

Operasi penguatkuasaan "bilik sarang burung" perlu dilaksana berkala - Hannah

PUTRAJAYA, 6 Ogos -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh ketika sidang media pada Majlis Penyerahan Hadiah Cabutan Bertuah Cukai Taksiran 2025 dan Majlis Penyampaian Anugerah Penarafan Bintang Kualiti Pengurusan Skim Pemajuan Berstrata 2025 Wilayah Persekutuan Putrajaya di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini.  Turut kelihatan Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir (kanan).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh ketika sidang media pada Majlis Penyerahan Hadiah Cabutan Bertuah Cukai Taksiran 2025 dan Majlis Penyampaian Anugerah Penarafan Bintang Kualiti Pengurusan Skim Pemajuan Berstrata 2025 Wilayah Persekutuan Putrajaya di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

PUTRAJAYA: Operasi penguatkuasaan terhadap rumah kedai atau premis yang diubah suai secara haram menjadi bilik sewa sempit atau dikenali “bilik sarang burung” perlu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang yang ditetapkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata tanggungjawab itu perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pada masa sama perlu disertai pemantauan rapi terhadap anggota penguat kuasa bagi mengelakkan salah guna kuasa dalam pelaksanaan tugas.

"Di bawah tanggungjawab saya, untuk Presiden (Perbadanan) Putrajaya, Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan saya kira semua kena beri perhatian kepada unit penguatkuasaan.

"Jika tidak dipantau dengan elok, ia akan terbuka kepada salah guna kuasa," katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Penyampaian Anugerah Penarafan Bintang Kualiti Pengurusan Skim Pemajuan Berstrata 2025 bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya di sini hari ini.

Baru-baru ini media melaporkan, sejak 2023 hingga awal tahun ini sebanyak 502 premis di seluruh negara dikenal pasti diubah suai secara ekstrem menjadi bilik sewa berkonsepkan “rumah sarang burung” yang padat dan berisiko tinggi terhadap keselamatan, khususnya kebakaran.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Nor Hisham Mohammad dilaporkan berkata fenomena itu banyak dikesan berlaku di bandar utama seperti Kuala Lumpur, serta di Selangor, Pulau Pinang dan Johor berikutan permintaan tinggi terhadap penginapan mampu milik dalam kalangan pekerja, pelajar dan golongan berpendapatan sederhana.

Mengenai majlis berkenaan, Hannah berkata penganjuran anugerah dan cabutan bertuah bagi pemilik hartanah yang menjelaskan cukai taksiran lebih awal merupakan satu inisiatif penting bagi menggalakkan budaya pembayaran secara berdisiplin dan menyumbang kepada pembangunan Putrajaya.

Beliau berkata pembayaran cukai taksiran tanggungjawab setiap pemilik rumah namun usaha menghargai mereka yang membuat bayaran tepat pada masa mampu memberikan galakan kepada orang ramai melaksanakan tanggungjawab itu tanpa berlengah.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement